Connie S Monical
Perniagaan secara talian ialah salah satu trend terkini untuk mendapatkan wang tambahan. Dengan kepantasan arus perubahan teknologi, perniagaan ini semakin popular dan menarik lebih ramai penyertaan. Tambahan lagi, dengan keadaan ekonomi yang tidak stabil menyebabkan ramai yang menjadikan internet sebagai salah satu peluang keemasan.
Bukan sahaja melalui laman web, blog, forum, enjin carian, pusat sumber informasi, hiburan alternatif dan direktori; laman sosial juga adalah antara rangkaian popular mencari wang, antaranya Buka Facebook Dapat RM100 yang hangat tersebar di Facebook suatu ketika dahulu.
"Ramai menganggap perniagaan dari internet ini ialah kerja yang mudah kerana tidak perlu mengeluarkan peluh. Sebenarnya, kerja ini memerlukan individu yang rajin dengan melayari laman web, mempromosikan barang dan komunikasi yang rapat dengan blogger lain.
"Bermakna blogger juga perlu bekerja keras mencuri perhatian pengiklan untuk mengiklankan produk di laman web mereka," kata Pro-Weblogger, Faiz Suberi ketika ditemui Sinar Harian, baru-baru ini.
Antara faktor yang mendorong perniagaan internet kerana ekonomi tidak stabil, kos hidup meningkat, harga barang naik, hutang pinjaman yang banyak, pengangguran dan rakyat semakin celik IT. Namun faktor utama adalah disebabkan perkembangan Web 2.0 yang memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk berniaga di internet tanpa memerlukan kepakaran yang tinggi.
Dari segi sumber pendapatan blogger, ia tidak sentiasa tetap kerana bergantung pada tahap kreativiti. Oleh itu, blogger perlu lebih kreatif untuk bersaing dalam dunia perniagaan internet yang semakin sengit.
Menurutnya, pemasaran affiliate yang berteraskan komisen antara cara sering digunakan blogger dengan menggunakan ruangan iklan untuk memasarkan segala jenis produk syarikat atau pemilik produk dan juga perkhidmatan disediakan.
Kemudian blogger akan menerima komisen bergantung pada jumlah pembaca yang melayari laman web mereka atau setiap 'klik' pada ruangan iklan berkenaan. Pemasaran affiliate ini disukai ramai blogger kerana kadar komisen yang tinggi, iaitu boleh mencecah sehingga 30 hingga 75 peratus.
Katanya, perniagaan internet ini boleh mendapat keuntungan dalam tempoh setahun penglibatan secara sepenuh masa dan pendapatan bulanan boleh mencapai sehingga lima angka.
"Oleh itu, pendapatan bergantung pada disiplin diri. walaupun bekerja sendiri, namun pendapatan itu ditentukan oleh diri sendiri. Jika mahu pendapatan banyak, maka blogger perlu sentiasa aktif dalam talian setiap hari," katanya yang sudah terlibat dalam perniagaan internet sejak 2007 dan kini aktif sebagai pemaju laman web untuk syarikat-syarikat dan institusi.
Dalam kegembiraan mengejar pendapatan lumayan, blogger juga perlu beringat untuk menjalankan tanggungjawab dengan membayar cukai pendapatan kerana kerajaan telah memberikan kebebasan untuk berniaga dan memperoleh pendapatan dari internet, kini perniagaan internet adalah sesuatu yang sah dan diiktiraf sebagai bidang perniagaan yang profesional dan moden.
"Selain itu, individu yang terlibat dalam perniagaan internet ini haruslah tidak terbabit dalam mana-mana skim haram yang merugikan masa dan wang, seperti perniagaan MLM internet dan perniagaan yang menipu pengguna untuk memperoleh keuntungan cepat," nasihat Faiz kepada pengguna internet.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan