MAKKAH 3 NOV: Kekerapan hujan dan banjir di Malaysia menjadi perkara biasa tetapi di Mekah hujan merupakan perkara luar biasa dan dianggap rahmat Allah kerana bumi ambia ini jarang sekali menerima hujan.
Cuaca panas di tanah suci Makkah yang mencecah melebihi 41 darjah Celsius sejak dua minggu lepas dikejutkan dengan hujan lebat hampir dua jam petang semalam.
Hujan bermula kira-kira 5.30 petang waktu tempatan (10.30 malam waktu Malaysia) menyebabkan air melimpahi jalan-jalan di sekitar ibu kota Makkah, Aziziah, Syisya dan beberapa kawasan persekitarannya.
Pasukan media Lembaga Tabung Haji (TH) yang dalam perjalanan ke Syisya kira-kira empat kilometer dari pusat bandar Makkah menempoh perjalanan dalam hujan lebat disertai petir petang semalam.
Aliran trafik Kota Makkah yang sentiasa sibuk dengan kehadiran jutaan jemaah haji dari seluruh dunia bagaimanapun tidak terjejas kecuali jemaah-jemaah yang hendak menunaikan solat di Masjidil Haram kelihatan terkandas.
Kota Makkah berdebu berikutan pembangunan pesat sekarang hilang sementara, disebabkan hujan tersebut dan cuaca kembali panas seperti biasa hari ini.
-Bernama-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan