SANDAKAN 3 NOV: Barisan Nasional (BN) dilihat tertekan dengan peningkatan sokongan kepada Pakatan Rakyat hinggakan sanggup memberi sogokan secara terbuka kepada penduduk di Batu Sapi semata-mata untuk mendapatkan undi.
Semalam, TV Selangor berjaya merakamkan visual pemberian 30 ribu keping atap zink kepada penduduk di Perumahan Flas MPS, Batu Sapi.
Dalam satu sidang media di Bilik Gerakan Utama PKR, Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh memberitahu tindakan BN memberikan 30 ribu keping zink untuk diagihkan kepada penduduk disitu merupakan satu tindakan berani dan terbuka membeli undi.
"Kita juga mendapati ada juga penduduk yang tidak dibenarkan mengambil atap zink tersebut kerana BN hanya memberikan atap zink kepada penduduk yang menunjukkan slip pengundian sahaja. Ini jelas sekali tindakan terang-terangan BN membeli undi," tegas beliau.
Tambahnya, kelihatan BN amat tertekan untuk membeli undi hinggakan menggunakan faktor kemiskinan rakyat untuk kepentingan mereka dan dapat dilihat BN sengaja mengekalkan kemiskinan rakyat tempatan agar faktor ini boleh dipergunakan lima tahun sekali untuk membeli undi.
"Inilah yang kita ingin sampaikan kepada penduduk Batu Sapi dan rakyat Sabah betapa susahnya melalui kemiskinan ini semata-mata menunggu untuk mendapatkan imbuhan semasa pilihan raya.
"Ini merupakan satu perkara yang amat kejam, tidak berperikemanusiaan dan memang harus ditolak oleh rakyat," kata beliau.
Beliau seterusnya meminta dan merayu rakyat Batu Sapi untuk menunjukkan kepada BN bahawa 'enough is enough'.
"Penduduk Batu Sapi dan rakyat Sabah bukan bodoh, jangan terus diperbodohkan dan jangan ingat rakyat Sabah tidak akan bangkit dan bawa perubahan," tegas beliau lagi.
-tvsnews-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan