"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Azmin sedang dahului Zaid dengan lebih 500 undi

KUALA LUMPUR: Persaingan merebut jawatan timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan parti setakat semalam menyaksikan Naib Presiden Mohamed Azmin Ali mendahului dua calon lain dengan memperolehi 3,015 undi.

Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim, pula mendapat 2,529 undi manakala Pengerusi PKR Perak yang juga Naib Presiden parti, Mustaffa Kamil Ayub mendapat 1,149 undi.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, berkata ini adalah keputusan hari ketiga pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bagi tempoh 2010-2013 yang bermula Jumaat lalu di empat cabang di Kelantan dan lima di Kedah.

Sabtu lalu, sebanyak 32 cabang iaitu di Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan, Perak, Perlis dan Kedah mengadakan pemilihan manakala semalam, pemilihan dijalankan di 27 cabang di Pulau Pinang, Pahang, Perak. Negeri Sembilan dan Melaka.

Saifuddin berkata, bagi jawatan Naib Presiden, pengarah strategi parti, Tian Chua, kini mendahului dengan 3,621 undi, diikuti Nurul Izzah Anwar dengan 3,543 undi.

Pengarah pilihan raya pusat PKR, Fuziah Salleh memperoleh 2,895 undi dan pengerusi PKR Pulau Pinang yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mansor Othman, mendapat 2,852 undi.

Jawatan naib presiden yang mempunyai empat kerusi, menyaksikan 17 calon bertanding termasuk Ansari Abdullah, calon PKR pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Batu Sapi, yang kini memperoleh 646 undi.

Saifuddin berkata, seramai 132 calon menawarkan diri bagi mengisi 20 tempat dalam jawatankuasa MPP dengan anggota MPP Dr Badrul Amin Baharon mendahului pencabar lain dengan 3,087 undi.

Ini diikuti ketua penerangan Wanita PKR, Elizabeth Wong Keat Ping (2,582), pengarah pemantapan politik keanggotaan PKR, Datuk Johari Abdul (2,572) dan anggota MPP Hee Loy Sian (2,174).

Persaingan jawatan ketua Wanita PKR pula menyaksikan penyandangnya Zuraida Kamaruddin mendahului dua calon lain. Beliau mendapat 1,160 undi manakala anggota MPP Animah Ferrar memperoleh 408 undi dan timbalan pengerusi 2 PKR Perlis, Dr Suraya Sudin, memperoleh 403 undi.

Saifuddin berkata, jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pula menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara penyandang Shamsul Iskandar Mohd Akin dan anggota MPP Badrul Hisham Shaharin.

Badrul Hisham mendahului saingan hari ketiga dengan memperoleh 1,133 undi manakala Shamsul Iskandar memperoleh 1,029 undi.

Mesyuarat pemilihan membabitkan 218 cabang PKR yang bermula 29 Oktober lepas dan berakhir 21 November ini, akan diikuti dengan Kongres Nasional Tahunan parti itu yang akan berlangsung selama tiga hari mulai 26 November di Stadium Melawati, Shah Alam.

Mengenai pemilihan itu, Saifuddin berkata sebanyak 150 cabang lagi belum mengadakan mesyuarat pemilihan. 
-Bernama-
-

Tiada ulasan: