"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Propaganda Israel-Barat sebelum Gaza dimusnahkan

HarapanDaily.com

Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad

Muslihat mirip seperti sebelum serangan Amerika keatas Iraq dahulu, di mana dakwaan palsu senjata pemusnah massal- digunakan oleh Barat untuk justifikasi menyerang dan memusnahkan Iraq, propaganda pembohongan Israel dan Barat kini digunakan sepenuhnya sekali lagi untuk memusnahkan Gaza.

Tidak memadai dengan melaporkan serangan HAMAS terhadap israel secara objektif, media Israel – Barat penuh dengan tokok tambah yang melebih-lebih serta ‘spin’ untuk mempengaruhi kemarahan dunia bagi justifikasi membenarkan serangan terancang mereka untuk memusnahkan keseluruhan Gaza.

Selepas berberapa hari media Israel memutuskan bahawa tidak mencukupi untuk hanya melaporkan pembunuhan warga awam dan tentera Israel secara objektif, tetapi tuduhan “baru” yang tidak dapat disahkan seperti pemenggalan kepala, rogol, dan kejahatan lain tiba-tiba muncul dicipta.

Tuduhan di buat tampa apa apa laporan perubatan atau dokumen yang dinyatakan sebagai bukti forensik dan selepas beberapa hari tuduhan tersebut lenyap tidak kedengaran lagi.

Percubaan menganggu kebenaran lapuran media luar di bayangi dengan pembunuhan seorang wartarwan Reuters dan kecederaan 2 wartarwan lain di sempadan Lebanon-Israel semalam, hari Sabtu, yang telah di serang tentera Israel. Awal tahun ini seorang wartarwan kanan Al Jazeera, Shereen Abu Akleh, telah di tembak mati oleh penembak hendap Israel.

Apa yang nampaknya adalah percubaan usaha untuk memberi gambaran paling buruk tentang serangan HAMAS untuk membenarkan serangan balas brutal yang dirancang ke atas tanah Gaza, yang telah dilihat sebelum ini dengan pengebomam udara yang intensif ke atas Gaza yang membunuh ribuan warga awam dengan 60 peratus kematian membabitkan kanak-kanak.

Tindakan balas Israel membunuh warga awam, kanak-kanak, warga emas, dan menggunakan bom fosforus putih yang di haramkan oleh Pertubuhan Bangsa bangsa Bersatu tidak diberi liputan yang sepatutnya oleh media barat.

Sebagai persediaan menyerang Gaza yang lemah, senjata dan kapal terbang pengangkut Amerika telah dihantar. Sementara itu israel memotong bekalan air, makanan, elektrik dan negara-negara Eropah pula memutuskan untuk menahan semua bantuan ke Gaza.

Jika ini bukan persediaan untuk penghapusan etnik yang dirancang ke atas warga awam Gaza yang tidak bersalah yang tidak pernah dilihat sejak Kosovo, ia pasti akan hampir sama dahshat dengan peristiwa hitam berdarah pembunuhan orang awam secara “ethnic cleansing” di Bosnia dahulu.

Kenyataan “Sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi” Presiden Biden dari Amerika untuk Israel adalah satu lesen besar untuk Israel menyerang Gaza dengan restu Amerika. Semasa lawatan Setiausaha Negara Anthony Blinken ke Israel pula, beliau juga memberikan sokongan jitu kepada Israel.

Naratif media Israel yang mencipta persepsi amat negatif atas umat Palestin dan Hamas serupa dengan pendekatan senjata pemusnah massal yang digunakan pada Iraq adalah petunjuk yang sangat jelas tentang niat mereka untuk membenarkan hasrat mereka untuk meranapkan dan memusnahkan Gaza.

Iraq kini telah menjadi reruntuhan hasil daripada serbuan Amerika yang tidak pernah pun menemui sebarang senjata pemusnah massal di Iraq.

Sementara itu, dunia hanya mampu untuk menyaksikan tragedi mega kemanusiaan yang sedang berlaku yang akan menjadi lebih teruk.

Puncaknya selepas lebih 70 tahun keganasan penaklukan Israel, penyeksaan, pembunuhan, pengusiran orang palestin dari tanah air mereka, pemusnahan dan pencerobohan berulang kali masjid Al Aqsa, serta ketidakpatuhan berterusan israel terhadap pelbagai resolusi pertubuhan bangsa-bangsa bersatu, Palestin dan Gaza dilupakan oleh dunia.

Palestin tidak dapat lagi menerima penderitaan serta penghinaan dan bertindak balas melalui HAMAS. Bukan hanya Israel yang mempunyai hak untuk membela diri, begitu juga rakyat Palestin.

Dunia mempunyai akses kepada semua fakta dan sejarah melalui media internet moden untuk menilai situasi secara objektif.

Malangnya juga media barat pro-Israel akan membentuk dan mempengaruhi pemikiran awam melalui “laporan kreatif” penipuan besar besaran yang akan cuba menjustifikasikan bencana kemanusiaan pembunuhan kejam warga Gaza yang akan kita tonton sebagai mimpi ngeri melalui televisyen dalam keselesaan dan keselamatan rumah kita.

Semalam media BBC menunjukkan sebuah lori yang penuh sesak membawa puluhan warga Palestin yang diarahkan keluar berpindah ke selatan Gaza melalui “jalan selamat rasmi yang ditentukan” oleh Israel telah dibom.

Sekurang-kurangnya 12 orang mati dan berbelas cedera dalam lori yang rentung hangus kena bom di “jalan dijamin selamat” oleh Israel semasa di arah keluar dari utara Gaza.

Sementara dunia dan kita menyaksi tragedi demi tragedi di televisyen dan media , kita hanya mampu berdoa semoga saudara saudara Palestin kita di Gaza dilindungi dan diselamatkan Allah hendaknya.

Penulis ialah pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH dan Pengerusi AMANAH Terengganu.

Tiada ulasan: