KOSMO!
SEBUAH trak yang membawa sejumlah penduduk Palestin meletup di Jalan Salah-al-Din kelmarin. - BBC
BANDAR GAZA – Sebuah video tular di media sosial kelmarin menunjukkan konvoi kenderaan yang menuju ke selatan Gaza meletup dipercayai dibom oleh askar Zionis sehingga mengakibatkan sejumlah kematian, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC).
Kejadian itu berlaku selepas tentera Israel mengeluarkan arahan yang menggesa penduduk Bandar Gaza berpindah. Ia berlaku di Jalan Salah-al-Din, yang merupakan salah satu daripada dua laluan pemindahan penduduk.
Kejadian itu dipercayai berlaku pada pukul 5.30 petang (waktu tempatan) kelmarin.
Ia merupakan pembunuhan beramai-ramai selepas laporan menyebut 12 mayat ditemui dengan kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta sebahagiannya berumur dua hingga lima tahun.
Satu mayat kanak-kanak lelaki kecil yang memakai seluar pendek dan berbaju-T berkecai di atas trak tersebut, manakala mayat lain dilihat hancur berkecai serta berselarakan di lokasi kejadian.
Terdapat juga beberapa lelaki berlari ke arah trak itu sambil melaungkan doa dan merintih ketika asap akibat letupan tersebut menjulang ke udara, manakala penggera kenderaan berbunyi sepanjang masa. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan