"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sivakumar nafi 7 ADUN PR hantar e-mel

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), V Sivakumar menafikan kenyataan Speaker DUN, Datuk R Ganesan yang mengatakan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat (PR) menghantar soalan lisan dan bertulis menerusi e-mel kepadanya.

Sivakumar berkata, perkara itu tidak pernah berlaku malah e-mel berhubung soalan yang akan dikemukakan sewaktu Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) 30 Mac nanti hanya dihantar kepada Setiausaha Dewan Negeri, bukannya kepada Ganesan.

Menurutnya, berdasarkan Perintah-perintah Tetap 22(2), setiap soalan hendaklah ditulis tidak kurang daripada 14 hari daripada tarikh persidangan dan jawapannya perlu diserahkan kepada Pejabat Setiausaha Dewan pada waktu pejabat.

“Apa yang kita lakukan adalah mengikut undang-undang dan setiap ADUN sebenarnya sudah menerima surat lengkap dengan pengesahan (cop Setiausaha Dewan Negeri) pada 15 Mac lalu,” katanya pada sidang media di Pejabat Sekretariat PR (Pas) Perak di sini, semalam.

Sivakumar berkata, Ganesan mengeluarkan satu notis jadual memasuki dewan mesyuarat iaitu kepada 59 ADUN pada 26 Mac lalu yang menyatakan pihak kerajaan dan pembangkang perlu ikut pintu masuk yang berlainan sewaktu Sidang DUN diadakan.

“Beliau (Ganesan) berbuat demikian kerana bimbang sedangkan tidak pernah dalam sejarah Malaysia ADUN memasuki pintu berasingan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah menghantar surat kepada 59 ADUN di negeri ini dan ada di antara ahli Barisan Nasional (BN) yang membalas surat jawapan itu.

“Saya sudah menerima surat pengesahan kehadiran ke Sidang DUN daripada ADUN BN, pada 15 Mac lalu.

“Ini membuktikan saya masih diiktiraf sebagai Speaker yang sah kerana ADUN BN sendiri menghantar surat pengesahan kehadiran kepada saya,” katanya sambil menunjukkan bukti pengesahan yang diterima dari ADUN itu.

-SinarHarian-

Tiada ulasan: