"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wee bidas ‘Little Napoleons’ dalam PKR amal politik kotor

KUALA LUMPUR, 29 Mac: Seorang anggota pembangkang hari ini membidas beberapa rakan daripada parti sendiri yang sanggup melakukan apa sahaja termasuk memfitnah dan mengamalkan politik kotor.

Wee Choo Keong (PKR-Wangsa Maju) berkata segelintir “little Napoleons” dalam parti itu sanggup melakukan apa sahaja termasuk mereka-reka pembohongan seperti memalsukan gambar yang diterbitkan dalam internet untuk memfitnah dan mengaibkan tokoh politik negara.

“Tindakan fitnah (oleh little Napoleans) ini telah diakui tetapi tiada tindakan diambil terhadap dia, sebaliknya tindakan disiplin diambil terhadap pemimpin lain atas perkara yang remeh-temeh.

“Jika little Napoleons ini sanggup melakukan perkara kotor seperti menggunakan gambar palsu untuk memburukkan orang lain, tiada apa yang akan menghalang mereka daripada memusnahkan negara ini,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini ketika membahaskan usul menjunjung kasih terhadap titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

“Little Napoleans” adalah istilah yang merujuk kepada mereka yang mempunyai sedikit kuasa tetapi berlagak atau bertindak melampaui kedudukan mereka.

Wee mahu golongan itu menghentikan kegiatan politik kotor dan memfitnah melalui internet untuk mencapai matlamat politik sempit mereka yang mementingkan diri sahaja tanpa mengambil kira kepentingan rakyat.

“Jika kegiatan ini berterusan maka parti kita akan hancur, perjuangan akan jadi sia-sia sahaja dan sistem dua parti akan menjadi bayangan atau impian semata-mata,” katanya.

Wee melahirkan rasa kesal dengan tingkah laku “little Napoleons” terhadap isu mengenai peristiwa 16 Sept dan isu-isu lain di dalam atau di luar Parlimen.

”Saya berharap ‘‘little Napoleons’’ ini jangan memaksa saya untuk membongkar politik penipuan mereka dan politik cakap tak serupa bikin atau politik bermusim,” katanya. Wee turut kesal terhadap golongan itu yang mempersoalkan kedudukan beliau yang dipilih oleh Parlimen sebagai anggota untuk lawatan kerja di Washington baru-baru ini.

“Kalau pemilihan saya menjadi satu persoalan, maka Pakatan Rakyat memerlukan satu dasar baru bahawa anggota-anggota Parlimen PR tidak boleh mengambil bahagian dalam semua lawatan ke luar negeri dengan menteri, Speaker atau anggota Parlimen kerajaan,” katanya.

-Bernama-

Tiada ulasan: