Seorang pelajar perempuan tingkatan lima sebuah sekolah menengah di Pasir Mas, dijumpai mati di sebuah bilik penginapan di Pantai Cahaya Bulan (PCB) di Kota Bharu, hari ini dipercayai akibat pendarahan berlebihan kerana keguguran.
Noraini Mohd Noor, 17, dijumpai terbaring dengan berlumuran darah di bahagian pinggang ke bawah ketika dijumpai pekerja sebuah resort di situ, kira-kira pukul 9 pagi tadi.
Bagaimanapun menurut polis tiada kesan tikaman terdapat pada badan mangsa.
Menurut seorang saksi, pelajar Sekolah Menengah Sultan Ibrahim (I) itu dipercayai mendaftar masuk untuk menginap di resot itu pukul 8 pagi bersama seorang teman lelakinya, yang berumur sebaya dengannya.
"Hampir sejam kemudian, teman lelaki gadis itu mengadu kepada kaunter penyambut tetamu bahawa rakannya pengsan dalam sebuah bilik di resort itu," katanya.
Katanya selepas meninjau ke bilik itu, pihaknya mendapati terdapat banyak darah di bahagian bawah badan pelajar itu sebelum menghubungi pihak polis.
Polis juga menyoal siasat rakan pelajar terbabit berumur dalam lingkungan 18 tahun yang dipercayai dari sekolah agama berhampiran sekolah mangsa untuk membantu polis dalam siasatan kes itu.
Menurut guru pelajar sekolah berkenaan yang tidak mahu namanya disiarkan, pelajar itu ponteng sekolah hari ini selepas dihantar oleh ibunya pagi tadi bersama seorang adiknya.
"Dia seorang pelajar yang pendiam dan tidak menghadapi masalah disiplin walaupun tidak tergolong sebagai pelajar cemerlang dalam pelajaran," katanya.
Katanya lagi sepanjang pengetahuannya pelajar terbabit mempunyai perwatakan yang baik dan sering solat berjemaah di masjid serta pernah menyertai kegiatan agama di sekolahnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Amir Hamzah Ibrahim mengesahkan menerima laporan penemuan mayat pelajar itu.
Beliau berkata setakat ini polis menyifatkan kes itu sebagai kematian mengejut.
Bagaimanapun, mayat itu masih dalam siasatan dan bedah siasat akan dijalankan oleh unit Forensik Polis Diraja Malaysia.
Menurutnya, pihaknya akan mengklasifikasikan semula kes itu sebaik bedah siasat ke atas mayat itu selesai dilakukan sekiranya kematian pelajar itu melibatkan kes jenayah.
-Bernama-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan