Walaupun laporan itu bagai membuka pekung di dada dan menconteng arang di muka orang Melayu beragama Islam di negara ini, tetapi itulah kenyataan yang harus kita terima.
Sekurang-kurangnya ia dapat menyedarkan kita betapa rosaknya moral dan akhlak remaja sekarang. Jika begitu, tidak hairanlah mengapa kebelakangan ini begitu banyak kes pembuangan bayi berlaku di kalangan wanita Islam di negara ini, serta pengguguran janin yang disiarkan media cetak dan elektronik.
Semuanya berpunca daripada keruntuhan akhlak ketika mereka remaja. Oleh kerana semua kejadian disiarkan media itu diperoleh berdasarkan kes dilaporkan orang ramai dan bersumberkan polis, ramai beranggapan ia kes terpencil yang barangkali sebahagian besarnya bukan dilakukan rakyat tempatan.
Kita mendakwa ia angkara rakyat asing atau pendatang tanpa izin yang tidak bermoral dan rosak akhlak, sehingga tergamak membuang bayi hidup-hidup dan menggugurkan janin dalam kandungan. Tetapi apabila sudah terbukti menerusi kajian ilmiah, lebih-lebih lagi dilakukan pensyarah berwibawa institusi pengajian tinggi, ternyata kes salah laku seks dan seks bebas banyak membabitkan orang Melayu sendiri.
Lebih memeranjatkan, ia membabitkan remaja seawal usia 13 tahun. Kajian terbaru selama enam bulan bertajuk ‘Keterlibatan Remaja Dalam Salah Laku Seksual’ itu dilakukan sekumpulan pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM) membabitkan 400 responden dalam dua kumpulan sasaran di Lembah Klang dan luar bandar.
Kajian diketuai Pengarah Pusat Kokurikulum UPM, Prof Madya Dr Mohammad Shatar Sabran itu, mendapati 300 remaja Melayu di bandar dan luar bandar berusia antara 13 dan 25 tahun mengakui terbabit salah laku seksual dan seks bebas.
Mungkin kajian ini tidak menggambarkan keadaan sebenar masalah salah laku seksual dan gejala seks bebas di negara ini secara total, namun ia patut menyedarkan semua pihak khususnya ibu bapa, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu serta pertubuhan agama mencari jalan terbaik bagi merungkai permasalahan moral yang semakin tenat ini.
Baca selanjutnya di sini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan