"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Adakah kita nak tunduk kepada pelobi, biar rakyat mati setiap tahun?

Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid
khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beberapa Ahli Parlimen meluahkan kekecewaan disebabkan peruntukan larangan merokok terhadap generasi penamat (GEG) digugurkan daripada Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 di Dewan Rakyat.

Antaranya R Yuneswaran (PH-Segamat), Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) dan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi).

Yuneswaran semasa perbahasannya menyifatkan, ia adalah satu langkah ke belakang dengan tidak membentangkan GEG.

"Adakah kita nak tunduk kepada pelobi-pelobi di luar sana dan biarkan rakyat kita mati setiap tahun? Hampir 27,000 setiap tahun orang mati.

"Saya dimaklumkan juga, cukai daripada rokok dalam lingkungan RM2.3 bilion dan wang yang kita belanjakan untuk pesakit kronik dan hospital hampir RM8 bilion. Di manakah justifikasinya?

"Ada yang di luar sana masih mahu menyelamatkan rokok tetapi bukan nyawa manusia.

"Saya amat kecewa dan saya yakin menteri mungkin ada tekanan daripada orang gila rokok ini di luar sana yang mahu menyelamatkan syarikat tembakau yang tiada hati dan perut," katanya.

Dilaporkan semalam, peruntukan larangan penjualan produk tembakau dan rokok serta larangan merokok digugurkan daripada RUU GEG yang dibentangkan sekali lagi untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Hassan semasa perbahasannya mempersoalkan keputusan dibuat Kementerian Kesihatan (KKM) berkaitan GEG yang mengikut nasihat Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

"Artikel 8 Perlembagaan Negara, pihak yang boleh mentafsirkan undang-undang itu bukannya peguam negara, bukannya Ahli Parlimen tetapi hakim-hakim di mahkamah.

"Kalau kita buat salah, kita buat undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan negara, pihak lain boleh membawa ke mahkamah menyatakan undang-undang yang kita buat di Parlimen ini ultravirus, bercanggah dengan Parlimen. "Mahkamah yang tentukan, bukannya peguam negara jadi 'gatekeeper'," katanya.

Beliau juga secara sinis menyatakan mereka sudah kalah dengan pihak pelobi daripada industri tembakau.

"Hasrat negara demokrasi, bagi peluang (kepada) 222 Ahli Parlimen bincang. Boleh jadi RUU GEG itu kalah (dan) ditolak, tak mengapalah, itu demokrasi.

"Tetapi belum bincang, kita sudah tarik diri dan kalah dengan pelobi daripada industri tembakau.

"Saya sangat sedih menteri," katanya.

Mohd Suhaimi pula menyatatakan beliau telah menyediakan ucapannya bagi membahaskan berkaitan GEG tetapi ia dikeluarkan.

"Saya juga menyediakan ucapan saya ini dengan merasakan GEG dimasukkan dalam undang-undang ini tetapi dikeluarkan.

"Betul saya setuju, 222 orang kita ini nak bahaskan apa lagi kalau GEG dikeluarkan?" katanya.

Tiada ulasan: