"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Siasat dakwaan seleweng, SPRM jumpa 4 jongkong emas dalam serbuan Aman Palestin

WAN SITI AMINAH

Empat jongkong emas adalah antara barang yang dirampas dalam siri serbuan bagi menyiasat dakwaan penyelewengan dana melibatkan pertubuhan Aman Palestin.

Menurut sumber, pejabat pertubuhan bukan kerajaan iaitu Aman Palestin Berhad menjadi salah satu dari lima lakasi serbuan yang dilakukan oleh pasukan penyiasat.

Difahamkan, jongkong emas yang dirampas oleh penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu seberat satu kilogram setiap satu daripada Gred 999.9.

Selain jongkong emas, pihak penyiasat SPRM turut merampas sebanyak tiga komputer riba dan juga empat telefon bimbit dalam serbuan yang sama, lapor The Star.

Maklum sumber berkenaan, SPRM juga telah memanggil beberapa individu untuk memberikan keterangan mereka bagi menyiasat dakwaan penyelewangan tersebut.

Sementara itu, pihak The Star dilaporkan mencuba untuk menghubungi pihak Aman Palestin bagi mendapatkan kenyataan mereka mengenai rampasan jongkong emas terbabit.

Walau bagaimanapun, sehingga kini masih tiada sebarang maklum balas berjaya diperolehi oleh akhbar tempatan tersebut daripada pihak petubuhan Aman Palestin.

Dalam perkembangan baharu, Ketua Pesuruhjaya SPRM iaitu Tan Sri Azam Baki telah mengesahkan bahawa pihaknya memang ada melakukan beberapa serbuan bagi menjalankan siasatan.

Enggan mengulas lanjut, Azam Baki hanya memaklumkan bahawa pihaknya telah memanggil seramai 11 saksi untuk membantu siasatan dan juga direkodkan keterangan.

Terdahulu, SPRM telah mengambil tindakan dengan membekukan sebanyak 42 akaun bank berkaitan pertubuhan Aman Palestin yang melibatkan jumlah lebih RM25 juta.

Pembekuan akaun bank tersebut dilakukan selepas SPRM menyiasat pertubuhan berkenaan kerana didakwa menyalahgunakan sumbangan dana daripada orang ramai.

Aman Palestin mula beroperasi pada akhir tahun 2004 untuk menyalurkan dana dari rakyat Malaysia khususnya bagi menjaga kebajikan dan hak kemanusiaan penduduk Palestin. 

Pendaftaran Aman Palestin Berhad kemudian diluluskan pada 3 Januari 2006 oleh pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai syarikat yang tidak berteraskan keuntungan (non-profit organisation).

Tiada ulasan: