"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kenapa kurangkan denda merokok di kawasan larangan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan mengapa denda bagi kesalahan merokok di zon bebas asap rokok dikurangkan secara drastik mengikut Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.

Presiden MMA Dr Azizan Abdul Aziz berkata, hukuman yang kini ditetapkan bagi sesiapa yang didapati merokok di zon bebas asap rokok ialah denda RM10,000 atau penjara dua tahun.

Menurut RUU yang diluluskan oleh Dewan Rakyat semalam, denda bagi kesalahan tersebut dikurangkan sebanyak 50% kepada RM5,000, tanpa peruntukan hukuman penjara.

“Adakah KKM mengambil pendekatan lebih ‘lembut’ berhubung kesan buruk asap rokok terhadap kesihatan awam?” tanya Azizan dalam kenyataan.

Azizan turut meluahkan “kekecewaan mendalam” atas keputusan KKM untuk menggugurkan peruntukan generasi penamat (GEG) daripada RUU tersebut, yang masih memerlukan kelulusan Dewan Negara.

Beliau berkata, KKM secara berkesan tidak mengendahkan syor Jawatankuasa Khas Parlimen Kesihatan, sambil menambah Ahli Parlimen sepatutnya dari mula dibenarkan berbahas tentang perlembagaan GEG.

“Walaupun RUU tersebut melarang penjualan produk tembakau dan vape kepada individu bawah umur, ia gagal menunjukkan mahupun mencadangkan strategi untuk mencapai (status) bebas asap (rokok dan vape), suatu usaha yang harus diperjuangkan oleh kementerian,” katanya.

Azizan turut meluahkan kebimbangan apabila istilah “peranti merokok” dihapuskan daripada RUU yang disemak itu atas sebab-sebab yang tidak diketahui.

Mengakui wujudnya usul oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) agar peranti ini dikawal, beliau menegaskan bahawa ia paling baik dikawal selia oleh KKM agar tidak berlaku pertindihan penguatkuasaan.

“Selain itu, terdapat peranti merokok pakai buang dijual di pasaran yang didatangkan siap mengandungi cecair. Ini mungkin menjadi isu jika penguatkuasaan dijalankan oleh dua kementerian berasingan.

“Pada masa akan datang, MMA berharap kementerian akan memastikan penguatkuasaan yang kerap dan ketat agar dasar ini berkesan,” katanya.

“Kami juga berharap dapat melihat komitmen yang lebih besar daripada kementerian terhadap pendidikan kesihatan awam, melalui kempen anti-rokok dan vape yang lebih meluas.”

Tiada ulasan: