"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suami lari tinggalkan isteri, rakan ditahan bersama 74kg ganja

Bernama
Polis menemui lima kotak mengandungi ganja seberat 74kg yang dianggarkan bernilai RM229,400 dalam Proton Wira dinaiki tiga suspek. (Gambar PDRM)
KOTA BHARU: Polis menahan dua suspek bersama dadah jenis ganja seberat 74kg dianggarkan bernilai RM229,400 di Kuala Krai semalam.

Timbalan Ketua Polis Kuala Krai, Kamarulzaman Harun berkata lelaki dan wanita dalam lingkungan 25 hingga 39 tahun itu ditahan dalam sebuah kereta dari arah Kota Bharu menuju Gua Musang.

Terdahulu, katanya, anggota Cawangan Kereta Peronda (MPV) IPD Kuala Krai mengesan Proton Wira dinaiki tiga individu dalam keadaan mencurigakan di Telekong kira-kira 11.35 pagi.

“Ketika pemeriksaan hendak dijalankan, suspek memecut untuk melarikan diri sebelum berjaya ditahan di tepi jalan di Bukit Sireh. Seorang suspek lelaki dan wanita berjaya ditahan, namun suspek ketiga seorang lelaki meloloskan diri ke arah semak berdekatan.

“Hasil pemeriksaan menemui lima kotak mengandungi bahan disyaki dadah jenis ganja seberat 74kg yang dianggarkan bernilai RM229,400,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek melarikan diri itu merupakan suami kepada wanita ditahan itu.

“Hasil soal siasat awal terhadap kedua-dua suspek, mereka mengaku bekerjasama menghantar bekalan dadah terbabit.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki positif methamphetamine dan suspek perempuan negatif dadah.”

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman tujuh hari hingga Khamis depan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis IPD Kuala Krai memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini tampil menyalurkan maklumat di IPD Kuala Krai melalui talian 09-9666222.”

Tiada ulasan: