"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bangunan dalam binaan runtuh; 3 disahkan maut

Bernama

GEORGE TOWN: Tiga pekerja pembinaan warga Bangladesh disahkan maut dalam insiden runtuhan sebuah gudang logistik yang dalam pembinaan di Batu Maung, Bayan Lepas di sini, setakat 1.40 pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Mohamad Usuf Jan Mohamad, ketika mengesahkan perkara itu berkata dua mangsa maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital.

Beliau berkata empat lagi mangsa dikhuatiri masih tertimbus, kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dilakukan pasukan bomba.

Usuf berkata dua mangsa yang cedera parah telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk menerima rawatan.

Beliau berkata identiti mangsa yang maut masih belum dikenal pasti.

“Kita menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira 9.45 malam dan dimaklumkan terdapat 18 pekerja di tapak pembinaan gudang logistik tersebut tetapi sembilan orang telah keluar solat dan sembilan dilaporkan terperangkap.

“Ketika kejadian semua mangsa dikatakan bekerja di bahagian bawah rasuk sepanjang lebih 12 meter dengan berat dianggarkan 14 tan sebelum ia terjatuh lalu melanggar rasuk lain dan menimpa pekerja terbabit.

“Dua mangsa maut di lokasi kejadian dan mayat berjaya dikeluarkan kira-kira 10 malam, manakala seorang yang parah meninggal dunia di HPP,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian.

Usuf berkata kren digunakan bagi mengangkat struktur binaan untuk memudahkan akses mencari mangsa yang terperangkap.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bomba Pulau Pinang, Zulfahmi Sutaji, berkata kawasan kejadian dianggarkan berkeluasan satu gelanggang bola keranjang dan kren serta peralatan lain digunakan untuk mengangkat binaan yang runtuh.

Beliau berkata Unit Anjing Pengesan (K9) akan dipanggil sekiranya diperlukan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat.

Dalam pada itu, Konsul Kehormat Bangladesh Shaik Ismail Allaudin yang turut berada di lokasi berkata pihaknya masih menunggu untuk mendapatkan maklumat semua mangsa terlibat.

“Setakat ini saya belum boleh berikan apa-apa kenyataan kerana belum dapat maklumat rasmi.

“Saya sudah minta kontraktor terlibat untuk berikan semua butiran mangsa kerana walaupun kita tahu mereka warga Bangladesh tetapi kita masih perlukan dokumen untuk pengesahan sebelum mengambil tindakan lanjut,” katanya.

Tiada ulasan: