"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Aneh dan pelik dalam kes gangguan seksual Wahab

WAHAB MULA BERTUGAS DI J-KOM 1 NOVEMBER, TAPI GANGGUAN SEKSUAL TERHADAPNYA DIDAKWA BERLAKU 21 OKTOBER…JENG, JENG, JENG??

Shahbudin Husin

Berikutan laporan polis yang dibuat oleh Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani tentang gangguan seksual yang didakwa dilakukan bekas Ketua Pengarah J-Kom, Prof Dr Mohd Agus Yusof terhadapnya, cerita siapa “Mr H” dengan sendirinya sudah jadi tidak menarik lagi.

Bahkan, apa peranan “Mr H” dalam “video Wahab” yang tular sebelum ini turut tidak penting lagi untuk diketahui.

Yang lebih menarik lagi untuk diketahui selepas ini tidak lain adalah tentang warna-warni Dr Agus itu sendiri.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat Wahab, beliau mendakwa telah diganggu secara seksual oleh Dr Agus pada 21 Oktober lalu di sebuah hotel di Bintulu, Sarawak.

Tetapi, jika kita masih ingat dalam sidang media bersama Dr Agus di Bangi kira-kira dua minggu sebelum ini, Wahab memberitahu beliau mula bertugas dengan J-Kom pada 1 November 2023.

Bermakna, ketika kejadian gangguan seksual didakwa berlaku di Bintulu itu, Wahab belum lagi bertugas dengan J-Kom.

Bagaimana Wahab boleh berada di Bintulu bersama Dr Agus?

Apa urusan beliau di Bintulu dan apa pula hubungannya dengan Dr Agus yang ketika itu masih berjawatan Ketua Pengarah J-Kom?

Adakah beliau dibawa oleh Dr Agus ke Bintulu atau Wahab pergi sendiri ke sana dengan menggunakan duit poketnya sendiri untuk membeli tiket kapalterbang?

Adakah Dr Agus dan Wahab sudah saling kenal-mengenal sebelum kejadian gangguan seksual yang didakwa berlaku itu?

Selain itu, sebagaimana laporan polis dibuat Wahab, gangguan seksual itu didakwa berlaku di sebuah hotel di Bintulu.

Sekali lagi persoalan timbul, di mana sebenarnya tempat yang lebih spesifik kejadian gangguan seksual itu berlaku?

Adakah ia berlaku di ruang lobi, di dalam coffee house, ketika minum-minum di lounge atau di dalam bilik?

Jika di dalam bilik – adakah gangguan itu berlaku di bilik Dr Agus atau di bilik Wahab?

Atau mereka berkongsi bilik yang sama?

Kemudian daripada itu, oleh kerana Wahab sendiri mengatakan beliau mula bekerja dengan J-Kom pada 1 November 2023, bagaimana sebenarnya proses pengambilannya bekerja dengan J-Kom?

Ikut proses biasa atau ada laluan istimewa?

Apakah pengambilannya bekerja di J-Kom ada kaitan pula dengan kejadian gangguan seksual yang didakwa berlaku pada 21 Oktober itu?

Oleh kerana pihak polis, sebagaimana dinyatakan oleh Ketua Polis Negara, Razarudin Husain telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 377D atas kesalahan melanggar kesopanan, nampaknya banyak soalan tambahan perlu ditanyakan kepada Dr Agus dan juga Wahab,

Terutama kepada Dr Agus yang memegang jawatan penting dalam kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim ketika kejadian gangguan seksual itu didakwa berlaku, keterangan beliau dan kesediaannya berkata benar ketika disiasat polis adalah amat mustahak lagi.

Tidak mustahil juga, dalam proses siasatan polis nanti, lebih banyak lagi terbongkar cerita-cerita pelik dan menarik, bukan saja untuk tatapan pemikiran tetapi juga sebagai pengajaran kepada kita semua. – ShahbudinHusin 02/12/2023.

Tiada ulasan: