"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kemaman: Kempen suram, cuaca boleh jejas peluang PAS menang besar

Mohd Farhan Darwis

PETALING JAYA: PRK Kemaman yang dikatakan ‘sejuk’ mungkin menjejaskan sasaran PAS menang majoriti 30,000 undi pada pilihan raya esok.

Penganalisis politik Hisomuddin Bakar berkata faktor cuaca mungkin memainkan peranan dari segi peratus keluar mengundi memandangkan sebahagian pantai timur Semenanjung Malaysia kini berdepan Monsun Timur Laut.

Pengarah eksekutif Ilham Centre itu berkata dalam keadaan itu faktor calon ‘heavyweight’ seperti tindakan PAS meletakkan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar tidak lagi memainkan peranan menarik pengundi menunaikan tanggungjawab.

“Dapat 65% (pengundi) pun cukup baik, jadi majoriti mungkin lebih kecil…(sasaran) 30,000 undi mungkin susah,” katanya kepada FMT mengulas pertembungan Samsuri dengan calon Barisan Nasional (BN) Jen (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Hisomuddin turut berkata mood pengundi tempatan juga dilihat kurang teruja dengan kempen agak sejuk, mungkin berpunca keyakinan PAS menang atau perasaan dingin terhadap kempen BN terutama di kalangan anak muda.

“Sama ada faktor cuaca atau hujan, pengundi banyak duduk di rumah tidak sertai ceramah membentuk majoriti pengundi senyap yang lebih besar untuk diukir jentera parti.

“Tiada isu besar dan tempatan, malah ceramah perdana menteri (Anwar Ibrahim) (kelmarin) masih bawa isu nasional, maklum balas diterima mengatakan ia tak dapat menangkap imaginasi pengundi di Kemaman,” katanya.

Sedar keadaan itu, Yang Dipertua PAS Kemaman Che Alias Hamid berkata pihaknya mula menggerakkan kumpulan kerahan khas menggesa pengundi khususnya anak muda di luar Terengganu untuk pulang mengundi esok.

“Cabaran utama musim tengkujuh, tetapi pengundi luar kita harap mereka balik…dalam keadaan begini perlu buat kerahan.

“Kalau pengundi luar boleh balik insya-Allah boleh tambah majoriti hingga 30,000 undi,” kata penyandang kerusi itu yang menang dengan majoriti 27,179 undi dalam pertandingan empat penjuru pada PRU15.

Kemenangan Che Alias dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya selepas pempetisyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen pilihan raya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Terengganu Tengku Haphiz Tengku Putra pula berkata mereka menumpukan kepada pengundi muda yang dilihat cenderung memilih menggunakan emosi dan termakan politik adu domba PAS.

“Ada beberapa sentimen dimainkan tetapi kita dah perbetulkan, Pemuda Umno bawa naratif supaya kena fikir secara objektif,” katanya.

Tiada ulasan: