"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Parti berhaluan kanan ekstrem Sweden yang menyokong kerajaan menggesa masjid dirobohkan

AFP

STOCKHOLM: Perdana Menteri Sweden Ulf Kristersson mengecam pemimpin parti berhaluan kanan ekstrem yang menyokong kerajaannya, yang menggesa segelintir masjid dirobohkan.

Pemimpin Sweden Democrats (SD) Jimmie Akesson menggesa segelintir masjid dirampas dan dirobohkan ketika ucapan dalam sidang tahunan partinya pada Sabtu.

“Kita perlu merampas dan merobohkan masjid di mana propaganda antidemokratik, anti-Sweden, antihomoseksual, anti-Yahudi, atau maklumat salah secara am, disebarkan,” katanya ketika itu.

Kristersson, yang kerajaan gabungannya tidak termasuk SD tetapi bergantung kepada sokongan parti itu, mengecam kenyataan itu sebagai “biadap”

“Saya fikir itu cara biadap untuk menyuarakan pandangan, cara yang memecahbelahkan dalam menyuarakan pandangan,” katanya kepada badan penyiar SVT.

“Ini tidak menggambarkan pendirian Sweden di peringkat antarabangsa.

“Di Sewden kita tidak merobohkan tempat ibadah. Sebagai masyarakat kita mesti menentang ekstremis ganas apapun pendirian mereka, tetapi ia dilakukan mengikut rangka negara demokratik dan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Bekas Perdana Menteri Social Democrat Magdalena Andersson menggesa Kristersson menyingkirkan semua pegawai SD yang bekerja di pejabat jemaah menteri di Stockholm.

“Ini memburukkan lagi imej Sweden, tidak memudahkan permohonan kita menyertai Nato, dan terus meningkatkan pecah belah dalam negara. Ini tidak mementingkan keselamatan Sweden dan rakyatnya,” katanya di X.

Sweden yang masih memerlukan ratifikasi Hungary dan Turki untuk menyertai Nato, melihat beberapa kejadian yang mencetuskan ketegangan dengan negara di Timur Tengah.

Beberapa siri pembakaran al-Quran awal tahun ini mengakibatkan bantahan dan kecaman meluas terhadap Sweden, termasuk beberapa negara Timur Tengah memanggil wakil Sweden untuk memberi penjelasan.

Penunjuk perasaan menyerbu kedutaan Sweden di Baghdad dua kali pada Julai, malah ketika kejadian kedua turut menyebabkan kebakaran dalam pekarangannya.

Tahun lalu, Sweden menjadi sasaran kempen salah maklumat yang mendakwa perkhidmatan sosialnya “menculik kanak-kanak Muslim” yang diletakkan di rumah Kristian, menyebabkan pihak berkuasa terpaksa membuat penafian umum.

Tiada ulasan: