"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bersatu dakwa 10 MP kerajaan pula akan sokong PN

HarapanDaily.com

SITI NUR ZAWANI 

Selepas lima ahli Parlimen pembangkang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pula mendakwa 10 ahli Parlimen kerajaan bakal menyatakan sokongan kepada blok mereka.

Biarpun ura-ura mengatakan lebih ramai ahli Parlimen Perikatan Nasional bakal berpaling tadah, namun Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof menganggap spekulasi 10 ahli Parlimen kerajaan beralih sokongan kepada pembangkang adalah lebih kuat dan realistik.

Memetik Sinar Premium, Mohd Redzuan mendakwa ahli Parlimen PKR akan mendahului menyatakan sokongan terhadap blok pembangkang seterusnya diikuti oleh kelompok ahli-ahli Parlimen kerajaan lain.

“Kalau hendak andaikan akan ada lagi ahli Parlimen Bersatu akan berpaling tadah, saya fikir spekulasi ahli-ahli Parlimen blok kerajaan termasuk BN (Barisan Nasional) dan PKR bakal menyokong PN menubuhkan kerajaan baharu lebih kuat… realistik.

“Saya dapat maklumat ada ura-ura lebih 10 ahli Parlimen yang hendak berpindah blok. Mereka ini mengkaji asas permasalahan kerajaan sekarang dan menyedari Kerajaan Perpaduan ini ditunggang DAP.

“Pohon tidak akan bergoyang jika tiada angin. Masakan Setiausaha Agung UMNO (Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki) mendedahkan ada perjanjian bon kesetiaan RM100 juta dimeterai antara parti dan ahli-ahli Parlimen BN untuk kekal setia sekiranya spekulasi wakil rakyat mereka bakal berpaling tadah adalah tidak benar,” katanya memetik portal tersebut.

Setakat ini, lima ahli Parlimen Bersatu telah menyatakan sokongan kepada PMX dengan yang terbaru ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Empat Ahli Parlimen lain ialah ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid pada 12 Oktober; diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman pada 30 Oktober; Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim (7 November) dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik (8 November).

Setakat ini juga tiada seorang pun ahli Parlimen blok kerajaan menyatakan sokongan kepada pembangkang biarpun selepas setahun pentadbiran Anwar.

Tiada ulasan: