"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ali Rustam ditempelak

Zaili Muhammad 
MELAKA, 18 Mac (Hrkh)
 - Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, menempelak Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd Ali Rustam, yang didapati bersalah melakukan politik wang dalam pemilihan Umno kali ini.

"Itulah wajah Ketua Menteri Melaka yang selama ini cakap dia bersih dan amanah, sebenarnya Ali tak layak bertanding kerana melakukan rasuah begitu juga yang lain-lain.

"Mulutnya terlalu celupar tak beri orang Melaka melawat Kelantan, hentam Tuan Guru Nik Aziz tetapi akhirnya segala tindakannya itu kembali kepadanya semula," kata beliau.

Ustaz Ghani turut menjelaskan rakyat Melaka khususnya supaya menolak pemimpin yang mengamalkan rasuah kerana memalukan negeri Melaka.

"Mintalah Ali kembali ke jalan Allah, padahal sebelum ini pada tiap-tiap malam minta orang sembahyang hajat di masjid-masjid agar beliau memenangi jawatan Timbalan Presiden, yang saya bimbangkan tok imam minta dia jangan bertanding," katanya.

Selain itu, Ustaz Ghani turut mengambarkan bahawa inilah wajah sebenar pemimpin Melaka dan juga ketidakadilan yang berlaku di dalam Umno padahal Khairy juga terlibat tetapi tiada tindakan diambil.

"Kita juga pelik bagaimana SPRM tidak tahu tentang rasuah Ali Rustam, kata SPRM ada kredibiliti supaya berlaku adil kepada semua pihak kerana kalau kepada pembangkang mereka cepat siasat dan keluar keputusan.

"Insya-Allah kita akan adakan mesyuarat khas untuk hantar memorandum supaya Ali meletak jawatan Ketua Menteri kerana dia tak layak perintah Melaka," ujarnya.

Lembaga Disiplin Umno semalam mendapati Mohd Ali bersalah melanggar peraturan pemilihan Umno dan dilarang bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno minggu depan.

Bagaimanapun, Mohd Ali tidak digantung keahliannya dalam Umno.

Mohd Ali didapati bersalah mengikut Perkara 10.1 Tataetika Ahli Umno yang membabitkan kesalahan pihak ketiga.

Lembaga tersebut memutuskan bahawa Mohd Ali bertanggungjawab terhadap tindakan tiga ejennya yang didapati bersalah melakukan rasuah dan sogokan politik.

Mereka ialah Saadun Basirun, Rosli Hasan dan Zalina Ismail. Saadun dan Rosli adalah Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Bukit Katil. Manakala Zalina adalah Naib Ketua Puteri Umno bahagian yang sama.

Berikutan itu, ketiga-tiga mereka digantung keahlian selama satu penggal atau tiga tahun berkuatkuasa 12 Mac lalu. 

Tiada ulasan: