"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ustaz Jais Anwar meninggal dunia di London

Azamin Amin 
KUALA LUMPUR, 18 Mac (Hrkh)
 - Bekas Ketua Pemuda PAS tahun 1969 sehingga 1971, Ustaz Jais Anwar meninggal dunia jam di Hospital Universiti Euston, London 5.30 petang semalam.

Beliau juga merupakan tokoh kepimpinan PAS Selangor dan Wilayah Persekutuan serta menantu kepada bekas Yang Dipertua PAS Dato' Asri Muda.

Setiausaha Agung PAS Dato' Kamaruddin Jaffar ketika memberitahu Harakahdaily sebentar tadi turut merakamkan ucapan takziah kepada kaum keluarga di atas kembalinya insan yang tersayang ke rahmatullah dan merupakan kehilangan amat besar kepada PAS.

"Sumbangan dan jasa bakti beliau kepada PAS tidak akan dilupakan oleh rakan-rakan. Kita mendoakan semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh.

"PAS berharap agar kaum keluaraga Allahyarham bersabar dengan ujiuan getir ini dan tabah meneruskan kehidupan mendatang tanpa Allahyarham di sisi," katanya yang kini berada di Parlimen.

Sementara itu sahabat seperjuangan beliau iaitu bekas Timbalan Presiden PAS Ustaz Hassan Shukri ketika dihubungi memberitahu bahawa Allahyarham merupakan aktivis dan pejuang parti sejak dari umur 15 tahun lagi dan sangat komited dengan gerak kerja memantapkan perjuangan PAS selama ini.

Katanya, beliau pernah memangku jawatan Ketua Pemuda PAS pada tahun 70 lantaran Allahyarham mahu melanjutkan pelajaran di London sungguhpun sebelum ini Jais merupakan lulusan daripada Universiti Al-Azhar Mesir.

"Beliau pernah bertanding dalam pilihan raya umum pada tahun 1969 dan menjadi Ketua Pemuda PAS sehinggalah saya memangkunya pada tahun 1970 kerana alasan beliau untuk melanjutkan pelajaran.

"Dan sejak itu, beliau menetap di London sehingga hari ini dan saya kenal dia dan tahu perjuangan beliau bersama PAS sehinggalah ke akhir hayatnya. Beliau tidak berganjak dan terus bersama kita. Justeru saya begitu menghormati dan menghargai jasa beliau yang begitu mendalam terhadap PAS," kata bekas Senator itu.        

---------------------------------

 Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, yang kini berada di luar negara, merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Ustaz Jais Anwar, bekas Ketua Pemuda PAS yang telah pulang ke rahmatullah lewat petang semalam di London

  Allahyarham anak kelahiran Bagan Datoh, Perak yang juga merupakan menantu kepada Allahyarham bekas Yang Dipertua Agung PAS Dato' Asri Muda, telah banyak menyumbang jasa dan khidmat kepada parti dan perjuangan Islam dan beliau istiqamah dalam perjuangan sehinggalah ke penghujung hayat.

Allahyarham pernah bertanding di Parlimen Besut pada tahun 1969 dan dilantik sebagai Ketua Pemuda PAS Pusat bagi penggal 1969�71. Pada tahun 1970, Allahyarham lulusan Universiti al-Azhar telah meninggalkan tanah air untuk melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana di United Kingdom dan terus berada di sana sehingga akhir hayatnya.

Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar khususnya bagi PAS dan para pendukung perjuangan Islam di tanah air. Dato' Seri Tuan Guru mengharapkan agar keluarga Allahyarham dikurniakan kesabaran dalam menempuh dugaan Allah S.W.T ini dan mendokan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah S.W.T dan ditempatkan di kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh. Alfatihah. 

Tiada ulasan: