"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sujatha "tanpa mengetahui" minum parakuat - Paari

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Maika Holdings memberitahu Mahkamah Koroner hari ini bahawa pembantu peribadinya K. Sujatha memberitahunya bahawa dia "tanpa mengetahui" meminum parakuat pada 19 Jun 2007.

Vell Paari berkata beliau mengetahui perkara itu selepas adik Sujatha, Ugenthiran yang belajar di Australia ketika itu menghubunginya.

Beliau berkata beliau menerima panggilan pada 6.30 petang, kira-kira setengah jam selepas Sujatha yang juga pelakon, menolak tawarannya untuk menghantar Sujatha ke klinik, walaupun Sujatha mengadu sakit perut ekoran risa pada ovarinya.

Ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Geethan Ram Vincent yang membantu Majistret Mohd Fauzi Che Abu, yang bertindak selaku koroner, Paari, 46, berkata sebaik mendapat kepastian daripada Sujatha apa yang berlaku, beliau segera bergegas ke kondominium Sangsuria di mana Sujatha tinggal.

Kodominium itu terletak kira-kira 10 minit jarak pemanduan dari rumah Paari di Jalan Ipoh.

"Semasa dalam perjalanan ke kondominium itu, saya menghubungi sepupu saya seorang pegawai perubatan yang bertugas di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang, untuk mendapat bantuan dan nasihat.

"Dia memberitahu saya oleh kerana kes seumpama ini akan ditolak oleh pusat perubatan, lebih baik saya mendapat rawatan (untuk Sujatha) di hospital kerajaan, katanya.

Paari memberi keterangan pada inkues Sujatha, 28, yang meninggal di hospital di Klang pada 25 Jun, 2005, empat hari selepas dimasukkan, atas dakwaan meminum racun rumpai.

Paari yang juga anak lelaki Presiden MIC, Datuk Seri S.Samy Vellu berkata, sepupu beliau Dr S.P. Sakthiveloo yang tinggal berdekatan rumahnya, mencadangkan supaya Sujatha dihantar Hospital Tengku Ampuan Rahimah.

Disoal oleh Geethan mengapa beliau tidak mendapat rawatan untuk Sujatha di Hospital Kuala Lumpur, yang hanya 10 minit jarak memandu dari rumahnya, berbanding hospital di Klang yang jaraknya lebih dari 45km, Paari menjawab beliau keliru ketika itu.

Sebelum itu, Paari memberitahu koroner bahawa beliau mengenali Sujatha sejak 1996 apabila Sujatha bekerja dengan salah sebuah anak syarikat Maika dan bekerja sebagai pembantu peibadinya antara 1997 hingga 2007.

Paari berkata beliau mengenali baik keluarga Sujatha dan membiayai pendidikan adik-beradik Sujatha, yang salah seorangnya belajar di Australia.

Diminta menjelaskan hubungannya dengan Sujatha, Paari berkata ia sekadar hubungan antara majikan dan pekerja, yang beliau turut lakukan kepada pekerja lain.

"Hubungan saya dengan Sujatha hanya seperti kawan biasa yang lain," kata Paari yang sentiasa tenang sepanjang memberi keterangannya.

Namun beliau mengakui bahawa beliau menghantar Sujatha beberapa kali ke Hospital Damai dan klinik untuk mendapatkan rawatan pada risa ovarinya.

Bapa Sujatha, Krishnan Kunchan Nair, 53, berkata kali terakhir beliau menemui anaknya kira-kira tiga tahun sebelum kematian anaknya.

Menurutnya beliau tidak mengetahui bahawa anaknya dimasukkan ke hospital di Klang untuk selama hampir lima hari sebelum kematiannya.

Krishnan berkata hubungan beliau dengan Sujatha tidak berapa mesra dan menambah salah seorang anak lelakinya memberitahu tentang kematian anak perempuannya itu.

Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak syak berlaku perbuatan khianat di atas kematian anaknya.

Rakan serumah Sujatha, G. Tanusha Nair, 28, berkata Sujatha memperkenalkan Paari kepadanya semasa satu konsert di Bukit Jalil.

Tanusha berkata beliau melawat Sujatha di hospital di Klang pada 19 Jun, 2007 selepas adik Sujatha memberitahunya bahawa Sujatha sedang sakit tenat ekoran kanser ovari.

Beliau berkata beliau tidak mengetahui sama ada Sujatha dan Paari mempunyai sebarang hubungan.

Paari akan menyambung keterangannya esok (hari ini). 

-BERNAMA-


Tiada ulasan: