"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sepakat desak, gugurkan pendakwaan Anwar

Wan Nik Wan Yussof
Kesan daripada perjalanan perbicaraan pendakwaan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim telah muncul suara sepakat mendesak pendakwaan itu digugurkan. Siri perbicaraan itu sebenarnya telah membongkar nilai kehakiman yang bermotif politik dan tersasarkan daripada lunas keadilan sejagat.

Setelah Mahkamah Persekutuan pada 29 Januari lalu membuat keputusan muktamad menolak rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya dibekalkan semua dokumen penting pendakwaan ke atasnya membabitkan Mohd. Saiful Bukhari Azlan, maka beberapa urutan perbicaraan mahkamah telah diteruskan. Sehinggalah berlaku pula permohonannya untuk menggugurkan tuduhan Mohd Saiful ke atas Anwar di Mahkamah Rayuan. Sebelumnya, pihak Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan menolak permohonan Anwar.

Setakat ini mahkamah telah tidak melayan permohonan Anwar atas tiga isu penting: minta mendapatkan akses dokumen pertuduhan ke atasnya, minta supaya hakim menarik diri daripada mendengar perbicaraan kesnya, dan permohonan digugurkan pertuduhan ke atasnya.

Sehubungan itu, permohonannya supaya hakim menarik diri daripada mendengar perbicaraan kesnya yang difailkan pada 8 Februari akan didengar pada 25 Mac nanti. Anwar juga telah memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan pada 17 Februari yang telah menolak rayuannya agar mahkamah membatalkan pertuduhan terhadapnya. Sementara tarikh perbicaraan rayuan itu belum ditetapkan.

Sepakat


Ekoran daripada itu, berlakulah beberapa desakan demi desakan beberapa pihak agar kerajaan dapat menggugurkan pertuduhan kali kedua yang tidak munasabah ke atas Anwar itu. Senarai pihak yang mendesak itu antaranya ialah ahli parlimen Australia, presiden PAS, menteri besar Kelantan, ahli senat Amerika Syarikat, bekas perdana menteri Kanada, penasihat seumur hidup DAP dan ulama dunia terkenal.

Ahli parlimen


Antara yang awal adalah 50 Ahli Parlimen Australia yang diketuai oleh Michel Danby menghantar surat bantahan kepada Pesuruhjaya Tinggi Canberra, Datuk Salman Ahmad agar Kerajaan Malaysia menggugurkan tuduhan liwat yang dikenakan terhadap Anwar.

Pengerusi Jawatankuasa Kecil Bagi Hal Ehwal Luar Parlimen Australia, Michael Danby menyerahkan surat itu kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Canberra Salman Ahmad.

Surat itu berbunyi antara lainnya, “adalah perlu untuk dimaklumkan kepada kerajaan Malaysia bahawa pada pandangan kami sanjungan global terhadap Malaysia akan terjejas dengan tuduhan-tuduhan ke atas Anwar ini.

“Ramai pemerhati mesra Malaysia mendapati sukar untuk mempercayai seorang pemimpin pembangkang utama (seperti Anwar) dikenakan tuduhan liwat buat kali kedua, sejurus selepas partinya memperoleh kejayaan besar dalam pilihan raya kebangsaan.

Ahli senat

Ia kemudian disusuli kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Senat Amerika Syarikat, John Kerry yang menggesa kerajaan memastikan perbicaraan yang adil dan saksama kepada Anwar.

“Menggesa kerajaan Malaysia menyediakan perlindungan perundangan yang sewajarnya, yang beliau berhak peroleh selaku seorang Ahli Parlimen dan seorang rakyat dan untuk menyelesaikan kesnya dalam cara yang boleh membina keyakinan dari segi ia tidak memihak dan kewibawaan sistem kehakiman Malaysia."

Bekas perdana menteri


Kemudian, bekas Perdana Menteri Kanada, Paul Martin dalam The Globe and Mail turut mendesak kerajaan Malaysia menggugurkan pendakwaan ke atas Anwar.

Menurutnya, jika Malaysia mahu mengambil tempat sebagai antara negara progresif di dunia, adalah sangat penting tuduhan yang didakwanya bermotifkan politik itu digugurkan.

“Sebagai sebuah negara demokratik yang menghormati hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa, Anwar juga harus diberikan kebebasan untuk melaksanakan visinya.”

Presiden PAS


Sehubungan dengan kritikan pihak luar terhadap perbicaraan Anwar berkaitan tuduhan Mohd Saiful itu, terutamanya oleh pihak 50 ahli parlimen Australia, maka bagi Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah melihat sebagai ketempangan sistem kehakiman negara sehingga pihak luar mempersoalkan tuduhan dan pendakwaan ke atas Anwar.

Maka Presiden PAS memakai pertimbangan rasional dengan maksud, sekiranya kehakiman itu menepati nilai keadilan sebenar tidak mungkin pihak luar akan menegur amalan sistem keadilan di Malaysia.

Dua era kezaliman


Justeru itu, memahami konteks maklum balas tersebut, Anwar semacam berdepan dengan dua era kezaliman ke atasnya. Apabila dinilai kepada kehakiman yang pernah dilalui ketika era Dr. Mahathir kerana dituduh dengan pertuduhan yang sama seperti sekarang, pada akhirnya Anwar telah dibebaskan. Maka, pertuduhan ketika itu adalah sengaja dibuat dengan kerana motif politik.

Kini era Mohd Najib, tidak mustahil pertuduhan ke atas Anwar diulangi lagi. Memetik kata-kata John Kerry, tuduhan ke atas Anwar itu bermotifkan politik itu, maka wajarlah ia digugurkan.

Bersama meragui

Langsung, motif sebenar ahli parlimen Australia, John Kerry dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang adalah manifestasi fakta yang secara bersama meragui realiti keadilan dalam kehakiman di Malaysia. Betapa, seluruh pihak di dunia dapat melayari kenangan apabila undang-undang jakun seperti Akta Keselamatan Negeri yang menangkap dan menahan ‘mangsa’ tanpa bicara adalah masih utuh dipakai sehingga ke hari ini.

Ditambah lagi dengan peristiwa rampasan kuasa di Perak yang membelakangkan semangat perlembagaan dan suara demokrasi rakyat. Dikemaskan lagi dengan amalan fahaman jakun yang menepikan perjanjian tatkala menolak pembayaran lima peratus “cash payment” (royalti) hasil minyak di Terengganu dan Kelantan.

Selain daripada, banyak cerita yang masyhur mengenai kes-kes kehakiman yang tertangguh dan pendakwaan terpilih atas salah laku jenayah yang melibatkan individu berprofil VIP. Di samping turut tersebar banyak fitnah bahawa berlaku ‘campur tangan politik’ di dalam proses kehakiman di negara ini.

Menteri besar


Di atas nilai yang sedemikian, Mursyidul Am PAS juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz turut tidak bersetuju dengan sistem kehakiman di negara ini yang dianggap tidak dapat mencerminkan keadilan sebenar apabila melayan tuduhan yang tidak masuk akal ke atas Anwar yang dibicarakan secara terbuka sehingga membuka aib orang kepada umum.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz turut menegaskan, “apabila orang Australia pun turut sama membuat bantahan, ini bermakna mereka pun terasa dakwaan itu adalah karut.”

Penasihat seumur hidup

Menarik lagi, apabila ‘orang lama’ yang juga penasihat seumur hidup DAP, Dr. Chan Man Hin seperti mana dilaporkan Harakah turut menuntut agar pihak kerajaan menggugurkan segera dakwaan ke atas Anwar.

Baginya, kesan perbicaraan ke atas Anwar akan menyebabkan kesan buruk kepada ekonomi negara berikutan pihak dunia luar akan mengenakan sekatan ke atas Malaysia seperti mana berlaku di Myanmar, apabila negara itu menahan pemimpin demokrasi Aung San Suu Kyi.

“Anwar boleh menjadi seorang lagi Aung San Suu Kyi kerana Anwar dilihat ancaman kepada Najib.”

Pandangan Dr. Chan itu dilihat menjurus kepada perspektif global yang turut mendedahkan wujudnya kesedaran komuniti antarabangsa tentang hakikat pendakwaan ke atas Anwar itu sebagai tindakan mengelakkan Anwar menjadi pencabar Najib sebagai Perdana Menteri.

Ulama dunia terkenal


Turut menggegarkan pelaksanaan kehakiman Malaysia dalam konteks pendakwaan ke atas Anwar ialah ulama dunia terkenal, Tokoh Maal Hijrah Malaysia bagi tahun 1431 Hijri, Syeikh Dr Yusof al-Qaradhawi. Pihak Syeikh Dr. Yusof menggesa kerajaan menimbang untuk menggugurkan pendakwaan ke atas Anwar kerana ia akan menjejaskan nama baik Malaysia di kalangan dunia Islam.

Apatah lagi, pendakwaan itu dibuat dengan penuh keraguan, dan sekiranya wujud keperluan pendakwaan itu, ia hendaklah dilakukan di mahkamah syariah bukannnya mahkamah sivil. Sewajarnya, kehakiman negara ini dapat memberi keadilan kepada Anwar yang berdepan dengan pendakwaan itu.

Serius

Apa pun, pihak kerajaan hendaklah memandang serius atas nilai-nilai keadilan dan ketelusan sistem kehakiman di negara ini. Atas pendakwaan melibatkan Anwar ini terbukti telah wujud suara pemimpin utama dari dalam dan luar negara yang menggesa supaya ia digugurkan. Bermula dengan desakan pemimpin luar (ahli parlimen Australia, ahli senat Amerika Syarikat dan bekas Perdana Menteri Kanada serta Syeikh Dr Yusof al-Qaradhawi) dan pemimpin dalam negeri (Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Abdul Hadi dan Dr. Chan Man Hin) menjadikan kes pendakwaan ke atas Anwar kali kedua ini sebagai fokus antarabangsa.

Sehubungan itu, atas nilai kesejagatan keadilan, Anwar sewajarnya menerima pengadilan yang telus dan adil serta berteraskan syariah. Di sini relevan dan rasionalnya gesaan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Abdul Hadi, dan Dr. Yusof al-Qaradhawi. Maka, ia harus diambil kira demi menyelamatkan maruah negara daripada amalan kehakiman yang rakus dan di luar konteks keadilan.

Sesungguhnya, Tuhan Yang Esa adalah Maha Adil kepada sekalian hamba-Nya.

Wan Nik Wan Yussof,

Setiausaha Politik

Menteri Besar Kelantan.

Tiada ulasan: