"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

ADUN PR janji hadir sidang DUN: Nizar

Semua 27 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pakatan Rakyat (PR) negeri ini akan hadir pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) 30 Mac ini.

Bagaimanapun, ADUN Pasir Panjang, Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin berkata, mereka menyatakan kehadiran itu setelah menerima surat panggilan sidang DUN daripada bekas Speaker DUN, V Sivakumar. Katanya, mereka juga turut menerima notis sidang DUN daripada Speaker DUN, R Ganesan

“Kita sudah menyerahkan sebanyak 216 soalan bertulis dan lisan kepada Sivakumar serta bahagian Dewan Negeri untuk disediakan jawapan ketika sidang DUN berlangsung pada 30 Mac ini.

“Di samping itu, kita juga mengambil keputusan menghantar surat kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ganesan supaya mengadakan mesyuarat khas pada 29 Mac di Dewan Bandaran Ipoh bagi membincangkan perihal perjalanan sidang supaya berlangsung dengan aman, dapat membangkitkan segala masalah rakyat dan memikirkan hala tuju secara bersama demi kemajuan negeri,” katanya kepada pemberita di Pejabat Pas di sini, semalam.

Hadir sama, ADUN Tronoh, Sivakumar; ADUN Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ham; ADUN Lubok Merbau, Mohd Zainudin Mohd Yusof, ADUN Sungkai, A Sivanesan, ADUN Keranji, Chen Fook Chye, ADUN Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim Abdullah, ADUN Selinsing, Husin Din, ADUN Semanggol Ramli Tusin, ADUN Aulong Yew Tian Hoe, ADUN Simpang Pulai, Chan Ming Kai.

Mohamad Nizar berkata, PR negeri itu sepakat meminta Ganesan dan Dr Zambry melanjutkan sidang DUN sehingga lima hari iaitu 30, 31 Mac, 1, 5 dan 6 April bagi memberi ruang serta peluang kepada semua ADUN membincangkan hal berbangkit khususnya berkaitan rakyat.

Katanya, peruntukan dua hari untuk bersidang adalah tempoh singkat, malah tidak sempat membentang dan membahaskan segala masalah yang dikemukakan untuk kepentingan rakyat serta negeri.

“Kita mahu buktikan yang wakil rakyat PR berkhidmat untuk rakyat, sebab itulah kita meminta supaya sidang DUN dilanjutkan kepada lima hari iaitu tempoh sesuai bagi perjalanan persidangan DUN.

“Kalau sekadar dua hari, kita tidak sempat membincangkan segala masalah yang dibentangkan oleh Ahli Dewan, walhal tujuan bersidang adalah untuk rakyat dan negeri,” katanya.

-SinarHarian-

Tiada ulasan: