"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jom Heboh: Format asing penonton di Kelantan tiada masalah

Mohd Nor Yahya
KOTA BHARU, 28 Mac:
Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan, berkata pihaknya tiada sebarang masalah untuk mematuhi peraturan enakmen hiburan di Kelantan dan akan menggunakan format pengasingan penonton seperti di negeri ini apabila bertandang ke Johor nanti dalam siri jelajah Jom Heboh seluruh negara tahun ini.

“Saya lihat penonton begitu gembira hadir ke konsert ini walaupun mereka dibahagikan kepada tiga tempat yang dihalang dengan pagar besi di antara satu sama lain,” ujarnya ketika ditemui selepas berakhir konsert Jom Heboh di Stadium Sultan Muhammad ke-IV malam tadi.

Beliau juga melahirkan rasa kagum di atas sambutan yang amat menggalakkan dan setakat ini Kelantan adalah negeri yang begitu berjaya dalam mengadakan program Jom Heboh yang berakhir malam tadi.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz serta kakitangan kerajaan negeri yang begitu mesra dalam memberi kerjasama kepada kami dalam menjayakan program ini untuk kali pertama di Kelantan dan insya Allah ia akan diadakan pada setiap tahun di sini sekiranya mendapat kelulusan pihak kerajaan,” kata beliau.

Beliau juga berkata walaupun program Jom Heboh hanya diadakan dua hari tetapi dari segi pendapatan peniaga ia amat menggalakkan sehinggakan ada beberapa gerai jualan kehabisan barangan sebelum berakhir program.

“Saya juga ingin memohon maaf kepada kerajaan Kelantan sekiranya selama dua hari Jom Heboh berada di Kelantan ada sedikit sebanyak kekurangan yang berlaku dan ia akan ditingkatkan pada masa akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihak penganjur telah sanggup untuk mematuhi peraturan yang kerajaan tetapkan dan tidak menafikan masih terdapat beberapa kes terpencil dalam perlaksanaannya kali ini.

“Saya akui masih terdapat banyak perkara yang perlu dibetulkan dalam penganjuran kali pertama ini dan insya Allah ia akan dibincangkan dengan penganjur sekiranya mereka ingin adakan tahun hadapan di sini,” katanya.

Kerajaan memandang serius dalam meluluskan mana-mana agensi mahupun syarikat yang ingin adakan pertunjukan mahupun hiburan kerana memikirkan terhadap kesannya terlebih dahulu.

“Kita lihat dalam penganjuran konsert hiburan pentas yang diadakan malam ini, penonton telah diasingkan dalam tiga peringkat iaitu kaum lelaki, perempuan dan juga berkeluarga (gambar bawah) dan menampilkan hanya penyanyi lelaki sahaja,” ujar beliau lagi.

Walaupun ini kali pertama konsert yang tidak ada artis wanita, namun ia amat berjaya dan stadium dipenuhi orang ramai yang dianggarkan hampir 40,000 hadirin yang menampilkan artis lelaki seperti Jamal Abdillah, Jay Jay, Yassin, Kumpulan Raihan termasuk Megat Nordin.

Kelantan sememangnya tidak menghalang mana-mana pihak untuk tampil untuk mengadakan pelbagai bentuk hiburan, namun ia mestilah mematuhi enakmen hiburan negeri yang telah menjadikan dasar Islam sebagai garis panduan.

Setiap kali masuk waktu Maghrib, azan telah dikumandangkan dan penyediaan tempat solat yang banyak juga turut memberi keselesaan kepada pengunjung.

Tiada ulasan: