"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nik Aziz: Sidang khas rumitkan lagi krisis Istana Kelantan

MACHANG, 28 Mac: Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak bersetuju dengan cadangan diadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membincangkan dan menyelesaikan konflik Istana Kelantan.

Justeru kata beliau, tindakan sebegitu hanya akan memburukkan lagi keadaan kerana krisis itu melibatkan soal teknikal dan ia perlu diselesaikan secara berhikmah.

“Isu berkaitan (istana) sangat sensitif yang menyentuh perasaan orang Melayu dan ia perlu diselesaikan cara diam (baik),” kata beliau dipetik Bernama selepas majlis perasmian Kilang Nutraseutikal dan pemeterian perjanjian antara Kelantan Biotech Corp Sdn Bhd dan Global Biotech Produce Sdn Bhd di Labok di sini, hari ini.

Menteri Besar berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan agar sidang khas DUN diadakan bagi membincangkan kemelut yang sedang melanda istana Kelantan.

Syor itu diberikan ekoran kenyataan Setiausaha Sulit Sultan Kelantan, Datuk Wan Hashim Wan Daud bahawa Tengku Muhammad Faris Petra dipecat sebagai Pemangku Raja — perkembangan yang dilihat memburukkan lagi krisis Istana Kelantan.

Wan Hashim kini ditahan reman sehingga esok untuk disiasat di bawah Akta Hasutan. Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, kalau krisis itu gagal diselesaikan secara berhemah, kerajaan negeri akan menggunakan perlembagaan negeri untuk menyelesaikannya.

Pandangan serupa juga diberikan oleh Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yaakob kepada The Malaysian Insider kelmarin yang berpendapat sidang khas DUN tidak diperlukan bagi menyelesaikan kemelut dalaman Istana Kelantan.

“Kita melihat bukan satu keperluan untuk mengadakan sidang DUN khas bagi menyelesaikan masalah dalam institusi diraja.

“Lagipun kemelut ini adalah masalah dalaman pihak istana, jadi lebih baik sekiranya mereka yang mencari jalan penyelesaian,” kata beliau. Dalam pada itu, Nik Aziz meminta rakyat Kelantan sentiasa berdoa agar krisis itu selesai secepat mungkin.

Di samping itu Nik Aziz turut mengajak rakyat mendoakan kesihatan Sultan Kelantan supaya baginda cepat sembuh daripada kegeringan.

“Pada pandangan saya, tuanku masih gering dan masih memerlukan masa yang secukupnya untuk sihat seperti biasa,” katanya.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: