KHAIRUL AZLAM MOHAMAD
BESUT: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) melalui Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam telah mengadakan satu program ‘Jom Bersama Pemuda’ dan ‘Orang Mude Geng Kite’ menerjah ke Pulau Perhentian, Besut, baru-baru ini.
Program seumpama itu telah bermula sejak Februari 2010 lalu dan tumpuannya ke pulau-pulau pelancongan serta pusat-pusat hiburan bagi menangani masalah gejala sosial, perzinaan serta pembuangan anak yang semakin membimbangkan.
Ketuanya, Ustaz Ridhuan Mohd Nor berkata program seumpama ini akan diteruskan selama setahun dan fokus Pemuda PAS bagi menangani masalah gejala sosial.
“Kami (PAS) lihat hari ini masalah gejala social semakin membimbangkan dengan kes perzinaan, pembuangan bayi yang boleh meruntuhan Institusi Kekeluargaan.“Hal ini (isu) bukan sahaja berlaku bandar-bandar besar tetapi merebak ke kampung dan desa sehingga melahirkan masyarakat yang pincang,” ujarnya kepada Harakah.
Katanya, tahun 2009 lalu seramai 17,303 orang anak luar nikah Melayu didaftarkan di seluruh negara dan meningkat berbanding tahun 2008 seramai 16,541 orang.
“Kes anak luar nikah atau tidak saf taraf cukup banyak berlaku di kalangan orang Melayu dan mengikut laporan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) seramai 17,303 orang didaftarkan tahun 2009 lalu.
“Kes ini (anak luar nikah) telah naik dari tahun 2008 seramai 16,541 orang dan tahun 2007 seramai 16,000 orang setahun.
Bayangkan, kata Ustaz Ridhuan selama lima tahun dari tahun 2005 hingga 2009 seramai 74,723 pendaftaran anak luar nikah yang membabitkan orang Melayu Islam sahaja.
Ini katanya, tidak termasuk kes-kes yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kes-kes yang tidak dilaporkan.
Menurutnya, program yang dilakukan oleh Pemuda Pusat dan negeri ini bagi memberi kesedaran serta peringatan agar tidak berlaku lagi kes seperti itu.
Beliau menjelaskan masyarakat muda semakin berani melakukan perzinaan mungkin kerana wujudnya klinik-klinik swasta yang boleh mengugurkan kandungan.
Katanya, banyak kes penguguran di Lembah Kelang berlaku di kalangan remaja dan anak gadis dengan kos pembiayaan serendah RM400 sahaja.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Azman Shapawi menyifatkan budaya ‘kuning’ yang dibawa pelancong asing ke negara ini menjadi salah satu puncanya.
Katanya, kod etika berpakaian langsung tidak dikenakan kepada para pelancong asing terutama di pulau-pulau peranginan seperti di Pualau Perhentian ini.
Menurutnya, para pelancong asing terutama dari barat boleh berbogel separuh bogel dengan bebas tanpa halangan.
“Kami (Pemuda PAS) rasa budaya ‘kuning’ (bersosial) yang dibawa pelancong asing dari barat dan Eropah ini menjadi salah satu punca gejala sosial dalam masyarakat Melayu hari ini.
“Mereka (pelancong) bebas untuk bertelanjang, berbogel dan separuh bogel di pulau-pulau kita tanpa sekatan dan halangan.
“Masyarakat kita (Melayu) di kampung-kampung dan desa melihat dengan ‘kejutan’ budaya yang berlaku boleh mempengaruhi anak-anak muda, belia dan remaja,” jelasnya.
Justeru itu, katanya semasa kerajaan PAS memerintah Terengganu telah mengadakan garis panduan serta kod etika pelancongan yang tidak sempat dilaksanakan selepas itu.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kai’at mahukan kerajaan negeri mengenakan kod etika berpakaian kepada semua pelancong-pelancong asing di negara ini.
Ini kerana, katanya terdapat sesetengah pelancong asing yang datang ke pulau-pulau pelancongan dengan bebas bertelanjang, berbogel dan separuh bogel.
“Kerajaan perlu kawal pelancong asing yang datang ke tempat kita (pulau) kerana ada sesetengah mereka (pelancong) suka berjemur, bertelanjang, berbogel dan separuh bogel dengan bebas.
“Hal ini, tidak baik untuk masyarakat Melayu, penduduk setempat di pulau-pulau dan boleh merosakkan minda anak-anak remaja kita,” ujarnya yang turut serta mengikuti rombongan ke Pulau Perhentian tersebut.
Menurutnya, aktiviti-aktiviti berjemur sehingga keterlaluan oleh para pelancong asing di kalangan wanita di Pulau Perhentian ini mengaibkan.
Timbalan Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah mendakwa terdapat hampir 80 peratus anak-anak muda, belia dan remaja tidak tahu solat dengan sempurna hari ini.
Katanya, masalah kesempurnaan tuntutan fardhu ain dan fardhu kifayah itu wajar dititik beratkan bagi menjaga aqidah, moral dan akhlak.
Menurutnya, program yang menitik beratkan keagamaan sangat lemah di sekolah-sekolah bagi menjadi benteng ketahanan diri dengan Islam.
“Kami (Pemuda PAS) sarankan supaya pihak kerajaan terutamanya kerana mempunyai banyak kemudahan dan kewangan supaya memberi pendidikan agama yang sempurna kepada rakyat.
“Pusat-pusat pelancongan di darat dan di pulau perlu diberi perhatian serius supaya tidak dijadikan pusat kegiatan maksiat oleh sesiapa sahaja,” tegasnya.
Menurutnya, pendedahan anak-anak muda dan masyarakat dengan gejala tidak sihat yang dibawa masuk dari luar mengakibatkan masalah tersebut.
Ketua Pemuda PAS Besut, Ustaz Zulkifli Kadir menyaran mana-mana pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang lain melakukan usaha dakwah ke pulau-pulau pelancongan di negeri ini.
Katanya, masyarakat setempat dan penduduk di pulau-pulau yang terlibat dengan pelancongan sangat terdedah dengan budaya ‘kuning’ dan gejala sosial.
Menurutnya, kerajaan pula lebih memberi tumpuan kepada pelancongan tetapi mengabaikan pendidikan dakwah serta pengukuhan ilmu agama.
“Saya seru dan saya ajak mana-mana NGOs yang berteraskan Islam supaya datang melihat kehidupan penduduk di pulau-pulau yang terlibat dengan pelancongan ini.
“Mereka (penduduk) sangat terdedah dengan budaya ‘kuning’ pelancong dan jadi tidak baik untuk perkembangan minda dan akhlak masyarakat setempat ini,” ujarnya.
Katanya, rakyat Besut dan rakyat Terengganu umumnya malu dengan perkembangan di Pulau Perhentian yang menjadi pulau maksiat di mata dunia.
Harakah dimaklumkan, Pulau Perhentian ini terletak kira-kira 21 kilometer dari pinggir pantai Besut, Terengganu dan terbahagi kepada dua iaitu Pulau Perhentian Besar dan Pulau Perhentian Kecil.
Ekspedisi Dakwah Pemuda Pusat dengan kerjasama Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu dan Pemuda PAS Kawasan Besut meninjau di kedua-dua buah pulau tersebut.
Sambutan masyarakat setempat sangat baik dan misi dakwah Pemuda PAS tersebut dikira berjaya mendekatkan PAS dengan penduduk di Pulau Perhentian.
Seramai 20 orang menyertai rombongan tersebut dengan menemui setiap penduduknya serta mengedar risalah penerangan ‘Zina Meruntuhkan Institusi Kekeluargaan’.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan