"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Keluarga Teoh serah kepada peguam, A-G ‘bukti baru’ didakwa bunuh diri

SHAH ALAM, 9 Ogos: Keluarga Teoh Beng Hock enggan membuat spekulasi dakwaan bahawa setiausaha politik kepada pemimpin DAP itu telah membunuh diri ekoran “bukti baru” yang dibangkitkan dalam inkues diadakan untuk mencari punca kematiannya.

“Tanya peguam kami dan Peguam Negara,” kata adik Teoh, Lee Lan di sini petang ini.

Dia berkata, sebarang bukti baru yang didakwa wujud seharusnya telah dibangkitkan pada awal inkues.

“Ia seharusnya telah dibawa setahun lalu, bukan hari ini. Ini salah guna proses,” katanya ketika ditemui selepas dia dan keluarganya mengadakan pertemuan dengan Penasihat DAP Lim Kit Siang di sini.

Lim berkata, orang ramai hanya mahu mengetahui sama ada Teoh ditolak sehingga menyebabkanya mati.

Sehubungan itu kata beliau, apa sahaja kemusykilan yang wujud akan menjejaskan keyakinan ramai terhadap inkues yang sedang diadakan.

Kata beliau, inkues tidak seharusnya mengecewakan orang ramai dan kebenaran harus diketengahkan.

Lim menambah, beliau tidak berada dalam kedudukan untuk mengatakan sama ada bukti baru yang disebutkan hari ini benar-benar merujuk kepada kejadian bunuh diri.

“Saya tidak lihat (bukti itu), saya tidak tahu,” katanya.

Khabar angin mengenai kewujudan surat sedemikian dalam akhbar bahasa Mandarin ditimbulkan oleh Senator Ezam Mohd Nor dan disebarkan menerusi internet.

Bagaimanapun bekas majikan Teoh, Ean Yong Hian Wah hari ini menolak spekulasi itu.

“Saya kenal dia dan tiada sebab baginya untuk membunuh diri,” kata beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Ean, yang juga Pengerusi DAP Selangor juga menekankan bahawa Teoh sepatutnya melangsungkan perkahwinannya pada hari dia didapati mati.

“Dia gembira dan saya dengar dia bercakap dengan ibu dia dan tunang dia,” kata beliau ketika ditemui ekoran perkembangan terbaru inkues hari ini.

Laporan beberapa jam sebelum itu menyebut kehadiran bukti baru di saat akhir inkues kematian Teoh telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan peguam yang mewakili keluarga setiausaha politik itu dan kerajaan Selangor.

Prosiding yang sepatutnya disambung hari ini juga ditangguhkan sehingga 18 Ogos ini bagi memberi masa kesemua pihak mendapatkan arahan selanjutnya daripada anak guam masing-masing.

Koroner Azmil Muntapha Abas membuat keputusan itu dalam kamar dengan dihadiri peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh, peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili kerajaan Selangor, peguam yang dilantik kerajaan Tan Hock Chuan, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Abas dan Datuk Abdul Razak Musa yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Ean ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di tingkat lima, Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.

Di luar mahkamah, Gobind memberitahu pemberita keadaan yang berlaku (bukti baru) menunjukkan seolah-olah sesuatu yang dirancang dan beliau amat kecewa atas apa yang berlaku kerana bukti itu sepatutnya dikemukakan sebelum bermulanya prosiding.

-malaysianinsider-

Tiada ulasan: