"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengurus besar GLC rugi lebih RM106,000 angkara ‘phone scam’

Bernama

KUANTAN: Pengurus besar di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerugian RM106,253 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan menerusi panggilan telefon (“phone scam”) Jumaat lepas.

Ketua Polis Pahang Yahaya Othman berkata, lelaki berusia 45 tahun itu menerima panggilan daripada suspek mendakwa sebagai pegawai polis dari Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).

Suspek memberitahu mangsa bahawa data peribadi mangsa telah bocor selain bertanyakan mengenai penggunaan kad kredit.

“Sejurus itu, mangsa memberikan maklumat dua akaun bank miliknya dan maklumat kad kredit untuk pengesahan kepada suspek.

“Mangsa juga mengesahkan kod pengesahan transaksi (TAC) yang diterimanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata, mangsa mula menyedari ditipu selepas mendapati wang simpanan dalam dua akaun bank miliknya berjumlah RM106,253 telah lesap.

Justeru, mangsa telah membuat laporan polis di IPD Bentong semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Yahaya menasihati orang ramai supaya tidak memberikan butiran peribadi seperti nombor akaun untuk tujuan siasatan secara sewenang-wenangnya.

Tiada ulasan: