"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SKMM siasat kandungan disyaki menghina Islam di Facebook

Bernama

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memulakan siasatan terhadap seorang individu susulan kandungan disyaki menghina agama Islam, yang dimuat naik menerusi Facebook.

SKMM memaklumkan bahawa kandungan itu berkait penggunaan perkataan ‘lighad’, yang merujuk kepada ayat 18 Surah al-Hashr, dalam ucapan pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam.

“Kandungan tersebut didakwa mempersenda ayat suci al-Quran, hingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” menurut kenyataan.

SKMM memaklumkan pihaknya telah merakam percakapan individu berkenaan bagi membantu siasatan, serta menyita satu unit telefon bimbit dan e-sim untuk tujuan pemeriksaan forensik.

Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

SKMM menegaskan kebebasan bersuara di media sosial perlu diamalkan secara bertanggungjawab dengan menghormati sensitiviti agama, serta memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.

Tiada ulasan: