Muhaamad Hafis Nawawi dan Redzuan Muharam
KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Mufti akan menjalankan siasatan berhubung video tular memaparkan individu dipercayai perawat melakukan rawatan tradisional, yang didakwa mencampurkan bacaan tahlil dengan mantera Siam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan berkata, JAKIM dan Jabatan Mufti sudah dimaklumkan mengenai perkara berkenaan.
“JAKIM dan Jabatan Mufti akan menjalankan siasatan dan tindakan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Harian Metro sebelum ini melaporkan bahawa rawatan tradisional adalah haram dan wajib ditinggalkan sekiranya terbukti mengandungi unsur pemujaan, penyembahan atau pergantungan kepada kuasa selain Allah SWT.
Mufti Pulau Pinang, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman dilaporkan berkata, penggunaan kalimah suci dalam sesuatu upacara tidak semestinya membuktikan keseluruhan amalan itu menepati kehendak syariat Islam.
Beliau berkata, penentuan hukum sesuatu amalan perlu dibuat berdasarkan penelitian terhadap kandungan bacaan, bentuk upacara, tujuan pelaksanaan dan kepercayaan yang mendasarinya, bukan semata-mata berdasarkan penampilan pengamal atau bahasa yang digunakan.
Terdahulu, beberapa video tular memaparkan individu dipercayai perawat melakukan rawatan tradisional yang didakwa mencampurkan bacaan tahlil dengan mantera Siam, sekali gus mengundang pertanyaan warganet mengenai hukumnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan