"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terengganu: Dua wanita maut dalam kemalangan lima kenderaan

BERNAMA
Anggota mengeluarkan mangsa dari kereta Proton Waja yang terbabit kemalangan di Kilometer 48, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu di Kampung Selamat, Setiu petang tadi.- Foto FB Info Bencana Terengganu
BANDAR PERMAISURI: Dua wanita maut selepas kereta Proton Waja yang dinaiki terbabit dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 48, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, di Kampung Selamat, di sini petang tadi.

Mangsa terdiri daripada pemandu kereta berkenaan Nur Fauziah Ismail, 38, seorang peniaga dari Kampung Apek, di sini serta penumpang hadapan Zawiah Halias, 41, peniaga dari Kampung Hulu Kekabu, di sini.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Zahril Asri Mohd Zain berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu kira-kira 4 petang, manakala kejadian dipercayai berlaku pada 3.45 petang.

Beliau berkata siasatan awal mendapati Proton Waja yang dinaiki mangsa dalam perjalanan dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Terengganu, dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah treler Mercedes-Benz dari arah bertentangan.

“Akibat perlanggaran itu, treler berkenaan turut hilang kawalan dan bergesel dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Aruz, sebuah Perodua Myvi dan sebuah lori jenis UDT, yang dalam perjalanan dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Terengganu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, sebelum mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan dengan itu, Zahril Asri turut meminta orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya serta meminta saksi kejadian tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Setiu bagi membantu siasatan.

Tiada ulasan: