"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Indonesia disaman kerana cuai tangani jerebu

KOSMO!
SEORANG wanita memakai pelitup muka menunggang basikal melintasi Jambatan Kahayan di Palangkaraya, wilayah Kalimantan Tengah ketika ruang udara diselubungi jerebu tebal semalam. – AFP
JAKARTA – Kerajaan Indonesia dituduh melakukan ‘kecuaian serius’ dalam perbicaraan di mahkamah semalam mengenai saman terhadap presiden dan pegawai lain berkaitan jerebu akibat kebakaran hutan yang menyelubungi sebahagian Pulau Borneo.

Empat plaintif daripada badan bukan kerajaan pribumi, AMAM, memfailkan saman berkumpulan pada bulan lepas di sebuah mahkamah di kota Pontianak, wilayah Kalimantan Barat.

Rantau itu  terjejas teruk akibat kebakaran dan asap yang mengakibatkan  sekolah-sekolah ditutup serta memaksa ratusan penduduk  mendapatkan rawatan perubatan bagi penyakit saluran pernafasan.

Presiden Prabowo Subianto dan Gabenor Kalimantan Barat adalah antara 10 defendannya.

Peguam plaintif, Glorio Sanen  berkata,  kes itu merupakan ‘langkah untuk menangani masalah’ kebakaran hutan tahunan yang sebahagian besarnya berpunca daripada pemusnahan hutan dan didorong pada tahun ini oleh fenomena cuaca El Nino, mengakibatkan kemarau secara luar biasa.

Indonesia berbulan-bulan bergelut untuk mengawal kebakaran hutan  memusnahkan kawasan luas di Pulau Sumatera, Papua dan Borneo yang  mengeluarkan asap tebal dan menyesakkan dada sehingga ke Malaysia serta Singapura.

Tiada defendan yang hadir, demikian menurut wartawan AFP di dalam bilik mahkamah semalam.

“Kami  sedih dan kesal dengan ketidakhadiran mereka(defendan).  Namun, kami juga memahami bahawa mungkin keadaan jerebu ini menyebabkan mereka tidak dapat mendarat di Pontianak,” kata Glorio kepada pemberita.

Saman serupa yang difailkan tahun lepas di sebuah mahkamah di Sumatera Selatan telah ditolak. – AFP

Tiada ulasan: