"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis tahan 5 lelaki cuba serang penduduk guna senjata berbahaya

Safeek Affendy Razali

PETALING JAYA: Polis menahan lima lelaki warga tempatan yang disyaki terbabit dalam kejadian menyerang seorang penduduk menggunakan senjata berbahaya di sebuah taman perumahan di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 1.03 pagi semalam, daripada seorang lelaki warga tempatan yang mendakwa diserang beberapa individu.

Beliau berkata, polis turut mengesan video berkaitan insiden yang tular di media sosial.

“Hasil siasatan, polis menahan lima lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam kejadian bagi membantu siasatan.

“Tiga daripada suspek yang ditahan, berusia lingkungan 30 tahun hingga 40-an, mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan pelbagai kesalahan jenayah dan dadah.

“Manakala dua lagi suspek tidak mempunyai rekod lampau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shamsudin berkata, polis turut merampas sebilah parang dan sebilah gergaji yang disyaki digunakan ketika kejadian bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal dipercayai kejadian ini bermotifkan perselisihan faham dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata atau objek berbahaya ketika melakukan rusuhan.

“Selain itu, tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku dalam kejadian ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat di media sosial, atau membuat sebarang spekulasi tidak benar berhubung kejadian berkenaan.

Saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya menerusi talian 03-7966 2222 bagi membantu siasatan.

Tiada ulasan: