"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita menang saman isu beli 196 petak letak kereta

Agensi

Changsha, China: Seorang wanita di sini yang melabur 14 juta yuan (RM8.68 juta) bagi memperoleh 196 petak letak kereta di sebuah perumahan sebelum menjualnya pada harga jauh lebih tinggi, menang dalam kes saman difailkan penduduk yang berang dengan tindakannya.

Perbalahan undang-undang itu berpusat di sebuah blok kediaman di daerah ini, di wilayah Hunan, yang tidak didedahkan namanya.

Projek hartanah berkenaan siap dan mula dipasarkan pada 2018. Pada ketika itu, ramai pihak ragu-ragu dengan prospek kawasan perumahan berkenaan berikutan kekurangan kemudahan awam asas seperti kedai, sekolah dan pengangkutan awam.

Disebabkan hal itu, minat terhadap unit pangsapuri mahupun petak letak kereta di situ amat dingin, menurut laporan Hunan TV.

Meskipun dalam keadaan tidak menentu, wanita yang hanya dikenali dengan nama keluarga Wu itu bertindak membeli 196 petak letak kereta dalam satu transaksi tunggal mewakili 40 peratus daripada keseluruhan inventori tempat letak kereta projek berkenaan pada harga 14 juta yuan (RM8.68 juta).

Pemaju yang berdepan masalah aliran tunai yang teruk bersetuju dengan pembelian pukal wanita berkenaan.

Wu menyuarakan keyakinannya terhadap pertumbuhan kawasan itu selepas meneliti pelan pembangunan wilayah yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.

Seperti yang dijangkakannya, kawasan itu mengalami pembangunan pesat sehingga menyaksikan penjualan rumah di blok berkenaan meningkat cepat selain permintaan terhadap petak letak kereta melonjak tinggi.

Bagi melindungi pelaburannya, Wu memasang kunci petak letak kereta bagi mengelakkan penggunaan tanpa kebenaran.

Dia mula menyewakan sebahagian petak pada harga 500 yuan (RM310) sebulan bagi setiap petak, iaitu dua kali ganda daripada kadar sewa asal yang ditetapkan oleh pemaju pada 2018.

Dia turut menolak permintaan penduduk yang memohon pengurangan sewa kepada 300 yuan (RM186).

Selepas itu, dia menyenaraikan petak letak keretanya untuk dijual pada harga kira-kira 100,000 yuan (RM62,000) setiap satu, dengan sesetengahnya dijual sehingga 80 peratus lebih tinggi berbanding nilai asal.

Ramai penduduk berpendapat Wu sepatutnya menjual petak berkenaan pada kadar harga asal.

Tindakan Wu membakar kemarahan penduduk tempatan yang berdepan masalah kekurangan tempat letak kereta.

Seorang pegawai kerajaan dihantar untuk menjadi pengantara dalam pertikaian itu, namun usahanya gagal.

Sekumpulan penduduk kemudian menggabungkan tenaga untuk membawa kes berkenaan ke mahkamah.

Kumpulan itu berhujah bahawa petak letak kereta adalah sebahagian daripada infrastruktur penting komuniti dan tidak sepatutnya dimonopoli individu untuk mengaut keuntungan jualan semula.

Malah, mereka menggesa mahkamah membatalkan kontrak pembelian antara Wu dan pemaju.

Pada Februari 2024, mahkamah tempatan di Changsha membuat keputusan yang memihak kepada Wu.

Mahkamah menyatakan bahawa ketika pemaju hartanah menawarkan petak letak kereta untuk dijual, semua penduduk mempunyai peluang untuk membelinya tetapi memilih untuk melepaskan hak berkenaan.

Sebaliknya, berbanding mengambil sikap tunggu dan lihat, Wu merebut peluang itu dengan menyediakan pembiayaan serta menanggung risiko pasaran secara bersendirian.

Oleh sebab itu, pembelian pukal berkenaan disahkan sah mengikut undang-undang, manakala mahkamah menambah tiada undang-undang yang mengehadkan jumlah petak letak kereta yang boleh dimiliki oleh seseorang individu.

Kes itu kembali mencuri tumpuan di media sosial di China pada akhir September lalu sehingga mencetuskan perdebatan hangat dalam talian.

"Tiada apa yang salah dengan wanita ini. Pemaju ada bertanya kepada penduduk lain sama ada mereka mahu membeli, tetapi mereka memilih untuk tidak membelinya," kata seorang pengguna Internet yang menyokong Wu.

Seorang lagi pengguna memberikan ulasan: "Wanita ini kaya dan ternyata bijak."

Sebaliknya, seorang lagi pengguna berhujah: "Petak letak kereta dalam komuniti sepatutnya mengutamakan keperluan penduduknya. Adalah tidak adil apabila banyak petak dibiarkan kosong sedangkan yang lain bergelut mencari tempat letak kereta. Saya cadangkan mahkamah membatalkan kontrak pembelian Wu."
-hmetro

Tiada ulasan: