"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MB N Sembilan akan hadapi usul tidak percaya?

FMT Reporters

PETALING JAYA: Umno Negeri Sembilan sedang mempertimbangkan usul tidak percaya terhadap Menteri Besar Ismail Lasim pada sidang DUN akan datang, menurut sumber.

Sumber yang enggan dinamakan itu mendakwa usul itu akan dikemukakan oleh Ketua Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias, yang juga Adun Pertang.

“Keputusan kini terletak pada kepimpinan pusat Umno,” katanya kepada FMT.

Beliau menambah, barisan baharu Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) juga mungkin diumumkan sekiranya langkah itu diteruskan.

FMT sedang cuba mendapatkan komen daripada Jalaluddin berhubung perkara ini.

Sidang DUN dijadualkan berlangsung pada 26 Nov selepas ditangguhkan daripada 16 Okt bagi menyelaraskannya dengan pembentangan belanjawan negeri bagi 2027 pada hari berikutnya.

Speaker DUN Awaludin Said sebelum ini memaklumkan, pihaknya belum menerima sebarang notis rasmi mengenai usul tidak percaya terhadap Ismail, menegaskan beliau tidak akan membenarkan usul tergempar sekali pun untuk menjatuhkan menteri besar.

Ismail mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri besar pada 2 Ogos susulan PRN yang menyaksikan Barisan Nasional meraih 18 kerusi, Pakatan Harapan 11, manakala Perikatan Nasional memenangi tujuh kerusi.

Pentadbiran beliau bagaimanapun dibayangi krisis perlembagaan berhubung cubaan melucutkan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar.

Beliau dilaporkan menandatangani proklamasi bagi melucutkan kedudukan baginda pada 3 Ogos. Beliau bagaimanapun mendakwa dipaksa menandatangani dokumen itu dan membuat laporan polis sejurus perkara itu didedahkan kepada umum pada 8 Sept.

Pada 15 Sept, barisan exco Negeri Sembilan mengeluarkan kenyataan mendakwa pelucutan takhta Tuanku Muhriz pada April adalah sah, sekali gus menjadikan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar pemerintah negeri yang baharu.

Ismail kemudiannya menyokong kenyataan exco itu dan mengarahkan setiausaha kerajaan negeri meneruskan proses pewartaan proklamasi terbabit.

Tuanku Muhriz sejak itu telah membatalkan pelantikan kesemua 10 exco berkenaan, kecuali Ismail. Susulan itu, 10 bekas exco berkenaan memfailkan cabaran undang-undang di mahkamah awal minggu ini bagi menuntut pembatalan pelantikan mereka diisytiharkan tidak sah.

Tiada ulasan: