Seorang rakan (kerabat saya juga), pegawai tentera menghubungi saya petang tadi. Walaupun rakan ini bukan bertugas di Port Dickson tetapi isi perbualannya cukup menarik yang tentunya berhubungkait dengan PRK Bagan Pinang.
Rakan ini memberitahu antara dakyah yang digerakkan oleh UMNO ialah berkaitan kenyataan Dato’ Seri Anwar Ibrahim beberapa bulan lalu iaitu meminta Chin Peng dimaafkan dan dibenarkan kembali ke tanahair.
Dakyah ini khabarnya didendangkan kepada para perajurit kita (pengundi pos) untuk membawa imej buruk betapa Anwar (baca:Pakatan Rakyat) ‘menyokong komunis dan melupakan jasa dan pengorbanan perajurit yang terkorban’ dan jelas membuktikan Anwar tidak mengenang jasa serta pengorbanan perajurit yang terkorban angkara kekejaman komunis.
Lebih kurang begitulah bentuk propaganda hitam (black propaganda) yang dimainkan oleh UMNO menurut rakan saya itu. Nampaknya isu dimainkan sedemikian rupa untuk memberikan warna jelek kepada Anwar vis-a-vis PR yang bertujuan untuk mengolah persetujuan bahawa PR sesungguhnya tidak mengenang jasa dan pengorbanan perajurit menentang komunis. Malah saya percaya buat seketika ini propaganda sebegini hanya akan dimainkan di peringkat setempat tetapi menjelang minggu hadapan kesemua media perdana-RTM, TV3, Utusan, Berita Harian dan yang sealiran-akan memperbesarkannya (blown out of proportions) ke seantero dunia.
Kepada rakan pegawai tentera tadi saya maklumkan agar membaca semula kenyataan Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengenai isu tersebut. Jika ingatan saya tidak tersasar Anwar sebenarnya membidas sikap ‘double-standard’ kerajaan yang memaafkan kerajaan China yang menyokong PKM tetapi tidak bersedia untuk memaafkan Chin Peng.
Malah Anwar dengan jelas menyebut bahawa beliau tidak bermaksud menyokong atau bersetuju dengan tindakan keganasan (militant) sewaktu darurat dan tegas menyatakan bahawa beliau sejak dari dulu menentang komunisme.
Ini antara intipati kenyataan Anwar mengenai isu Chin Peng (jika tidak salah ingatan saya) yang jika diamati dengan tertib tidak langsung membawa maksud menyokong PKM dan menafikan jasa serta pengorbanan para perajurit.
Malah saya memberitahu rakan saya selanjutnya bahawa bapa mertua Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Dato’ Dr.Wan Ismail (Pak Wan) antara tokoh yang banyak menyumbangkan jasa di era darurat dahulu. Beliau antara pakar perang saraf yang bertungkus-lumus ke segenap pelusuk negara dalam tugas beliau mengekang pengaruh komunis.
Jadi adalah tidak masuk akal untuk mengatakan Anwar menyokong Chin Peng dan tidak mengenang jasa para perajurit. Seperti biasa UMNO melalui medianya akan berperanan sebagai ’spin doctor’ untuk memutarbelitkan kenyataan dan kebenaran serta berterusan memfitnah. Propaganda hitam seperti ini akan terus dimainkan bagi mengelirukan rakyat.
Namun saya kira para pengundi dan tidak terkecuali perajurit kita di Bagan Pinang tidak semudah itu terpengaruh dengan dakyah dan propaganda sedemikian. Rakyat hari ini sudah bijak dan ditambah pula dengan kemajuan teknologi maklumat hari ini saya percaya para perajurit kita akan dapat menilai sendiri putarbelit UMNO dan para juak mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan