SHAH ALAM, 29 Sept- Kerajaan negeri Selangor malam tadi memutuskan untuk tidak merombak prosedur dan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat).
Keputusan itu dibuat dalam perbincangan hampir dua jam membabitkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid, Barisan Exco Selangor termasuk Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Teng Chang Khim, Pegawai Daerah, Yang Dipertua pihak berkuasa tempatan (PBT), wakil rakyat dan ahli parlimen.
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor berkata, sebarang perubahan terhadap Selcat perlu dibincangkan dan dibahaskan pada sidang Dewan, jika perlu.
Beliau turut mengingatkan bahawa sebarang perbincangan mengenai Selcat tidak perlu dibincangkan dengan pihak luar.
Beliau berkata demikian selepas menpengerusikan mesyuarat tertutup itu di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SAAS) di Shah Alam.
Sebelum ini, Datuk Dr Hasan mengkritik prosedur Selcat yang menyoal pegawai daerah berhubung perbelanjaan peruntukan tahunan wakil rakyat pada sesi pendengaran, baru-baru ini.
Datuk Dr Hasan dilaporkan berkata, prosedur yang diamalkan oleh Selcat itu tidak sesuai dan seolah-olah cuba mengaibkan pegawai kerajaan terbabit.
Malah, beliau turut mencadangkan supaya rombakan ahli jawatankuasa selcat dilakukan bagi meningkatkan integriti jawatankuasa bebas itu.
Walaubagaimanapun ketika ditanya pihak media, beliau enggan mengulas mengenai keputusan perbincangan yang diputuskan itu.
-tvantara.com-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan