Abdul Aziz Mustafa | |
KUALA LUMPUR, 2 Sept: Rakyat di Bagan Pinang bertanggungjawab membuktikan kepada dunia bahawa mereka tidak mahu menerima pemimpin yang dipersoalkan integritinya, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub. "Apabila Tun Dr Mahathir (Mohamad) sendiri yang menentang pencalonan (Tan Sri Mohd) Isa (Abdul Samad) akhirnya menerima pemilihan bekas Naib Presiden Umno itu sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang semata-mata kerana itu adalah pilihan partinya, ia membuktikan Umno tidak peduli langsung soal integriti. "Sekarang rakyat di Bagan Pinanglah yang bertanggungjawab membuktikan kepada dunia bahawa rakyat negara ini masih ada maruah dan tidak mahu menerima calon yang dihukum oleh partinya sendiri kerana politik wang," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya PAS bagi pilihan raya kecil Bagan Pinang. Seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pula tidak menolak kemungkinan Dr Mahathir sudah boleh menerima calon yang dipertikaikan integritinya apabila menerima Isa sebagai calon di Bagan Pinang walaupun beliau menolak pencalonan Isa sebelum ini. "Sebagai bekas Presiden Umno, Dr Mahathir kini dilihat sebagai penasihat parti itu. "Tentulah tidak elok bagi beliau untuk mengambil pendirian yang bercanggah dengan apa yang menjadi resam dan kebiasaan Umno yang suka mencalonkan mereka yang dipertikaikan integritinya," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu. Mahfuz juga tidak menolak kemungkinan bekas Perdana Menteri itu sudah berubah fikiran dan mula merasa yakin bahawa pencalonan Isa boleh membantu usaha Umno untuk membersihkan imej parti itu yang pernah disebut oleh Dr Mahathir sendiri sebagai parti perasuah. "Mungkin Dr Mahathir sudah mula yakin bahawa Umno akan bertambah bersih dari imej rasuah politik dengan sokongan beliau kepada pencalonan Isa itu," kata beliau. Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohamad Sabu pula menyifatkan pencalonan Isa itu sebagai bukti kegagalan ahli-ahli politik di dalam negara ini mendidik rakyat mengenai integriti. "Sebagai ahli politik, saya menyalahkan diri saya sendiri kerana gagal mengajak rakyat Malaysia bersikap peka terhadap soal integriti dalam memilih pemimpin. "Pencalonan Isa membuktikan masih terlalu ramai rakyat negara ini yang tidak peduli sama ada seseorang pemimpin itu mempunyai integriti atau tidak," katanya. Beliau berharap ahli-ahli politik negara ini tidak mengetepikan usaha untuk mendidik rakyat menjadi masyarakat yang mengutamakan integriti ketika menawarkan parti masing-masing untuk dipilih oleh rakyat. "Saya benar-benar ingin benar melihat rakyat negara ini dibiasakan dengan amalan menukar-nukar kerajaan seperti rakyat di England umpamanya yang tidak ragu-ragu menukar pemerintah. "Jika mereka tidak berpuas hati kepada parti Buruh, mereka tukar kepada Konservatif. Begitulah juga kalau mereka tidak puas hati kepada Konservatif, mereka tukar kepada Buruh. "Rakyat Malaysia mesti diajar untuk bertindak begitu supaya parti yang diberi peluang memerintah tidak merasakan ia boleh melakukan apa sahaja yang ia suka," katanya. Jika rakyat negara ini boleh bertindak demikian, katanya, kerajaan yang diberi peluang memerintah akan berhati-hati dalam soal integriti dan tidak bertindak sesuka hati serta memandang rakyat sebagai orang-orang bodoh yang akan tetap mengundi parti yang memerintah seperti yang berlaku di negara ini sekarang. "Selagi mentaliti rakyat tidak boleh diubah ke arah itu, selagi itulah Umno dan BN begitu yakin mereka boleh bertindak sesuka hati mereka dan selepas ini jangan terkejut jika mereka letakkan perasuah demi perasuah sebagai calon mereka kerana mereka tahu rakyat, terutama orang-orang Melayu, tetap akan memilih Umno atau BN," kata beliau. Isu kredibiliti dan integriti calon BN dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang dibangkitkan oleh Dr Mahathir sendiri apabila beliau menolak Isa sebagai calon BN dalam pilihan raya itu. Beliau berkata, imej Umno akan terjejas jika bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dicalonkan kerana dianggap tidak serius dalam memerangi politik wang sekiranya masih meletakkan mereka yang sudah didapati bersalah dalam rasuah politik sebagai calon. "Isa sudah didapati bersalah, kalau Umno letak dia juga bermakna bahawa Umno tak ambil berat tentang kes-kes macam ini," kata beliau. Malah, bekas Pengerusi BN itu dilihat bersungguh-sungguh tidak mahu Isa menjadi calon di Bagan Pinang apabila beliau dikatakan dengan sengaja menghadiri rumah terbuka Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan sempena Hari Raya baru-baru ini. Mohamad dilaporkan sebagai antara seteru utama Isa dalam politik Umno Negeri Sembilan. Ketika bercakap kepada pemberita di rumah terbuka Menteri Besar Negeri Sembilan itu, Dr Mahathir menekankan supaya Umno memilih calon yang bebas politik wang dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang. Bagaimanapun, apabila Umno memutuskan untuk memilih Isa sebagai calon BN dalam pilihan raya itu, Dr Mahathir akhirnya beralah kepada keputusan itu. "Beliau adalah calon parti, saya sokong. Pendapat peribadi saya tidak perlu diambil kira," katanya. Isa pernah digantung keahliannya di dalam Umno selama tiga tahun pada 2005 lalu kerana politik wang dalam pemilihan Umno 2004 di mana beliau telah dipilih sebagai salah seorang Naib Presiden Umno dengan undi tertinggi. Dr Mahathir bagaimanapun menyerahkan kepada pengundi-pengundi di Bagan Pinang untuk membuat penilaian adakah Isa adalah satu pemilihan yang tepat. Beliau juga memberitahu bahawa beliau tidak merancang untuk berkempen bagi pihak BN di Bagan Pinang. Dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang sebelum ini, Dr Mahathir turun berkempen untuk membantu calon BN yang akhirnya kalah dalam pilihan raya itu. Dari lapan pilihan raya kecil yang diadakan selepas pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu, Pakatan Rakyat (PR) menang tujuh daripadanya dan BN hanya menang dalam pilihan raya kecil Batang Ai di Sarawak. |
"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
UBN Najib Altantuya: Rakyat Bagan Pinang mesti selamatkan maruah Malaysia
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan