"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemilihan Isa Samad dan kontroversi Hasan Ali / UBN Najib Altantuya

Berdepan cemuhan seteru politik Umno-BN pastinya sesuatu yang lumrah tetapi bersemuka kritikan kawan-kawan seperjuangan tentu Dr Hassan terasa lebih perit.

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Pemilihan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefley Omar sebagai calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Dun Bagan Pinang memang sudah diduga, namun pengumuman lebih awal Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Isa Samad sebagai calon BN agak mengejutkan.
Memang Bagan Pinang cukup kritikal buat Umno-BN. Ia pertarungan hidup dan mati. Momentum kemenangan 7-0 Pakatan Rakyat dalam semua pilihan raya kecil di Semenanjung selepas tsunami politik 8 Mac 2008 mesti dihentikan.

Ya, walau dengan apa cara sekalipun, apatah lagi jika kemenangan PAS di Bagan Pinang, seperti ditegaskan Tuan Guru Abdul Hadi Awang, dianggap petanda penguasaan Pakatan di selatan tanahair, yang membolehkan kerajaan pusat yang baru dibentuk selepas pilihan raya umum ke-13.

Ternyata Umno-BN masih belum selesa dengan jumlah pengundi pos yang cukup besar di Bagan Pinang. Apa jua faktor yang dilihat dapat menambah undi tidak akan disesiakan meskipun dari segi jangka panjang ia boleh memudaratkan prestasi BN.

Walaupun Isa - Ketua Umno Telok Kemang dan Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun - pernah disabitkan dengan rasuah politik dan digantung keahlian Umnonya selama tiga tahun mulai 24 Jun 2005, namun beliau adalah satu-satunya calon yang diyakini boleh menyelamatkan maruah BN. Satu hakikat yang pelik tetapi bagi Umno yang "tercungap-cungap kelemasan", pilihan talian hayatnya begitu terbatas.

BN tidak boleh kalah di Bagan Pinang, malah ia perlu menang dengan majoriti lebih besar, bagi memulihkan imejnya menjelang pilihan raya umum akan datang.

Dalam pilihan raya umum 2008, Negeri Sembilan adalah benteng terakhir yang menghalang kemaraan Pakatan ke selatan.

Sebaliknya, dengan memilih orang seperti Isa, yang mungkin boleh membantunya mencapai misi di Bagan Pinang, tetapi keseluruhan wajah Umno-BN akan menjadi lebih hodoh dan gelap. Dr Mahathir Mohamad menyedari hakikat ini namun ia seperti tidak dihiraukan Najib.

Presiden Umno itu juga melanggar tradisi apabila tiba di lokasi majlis pengumuman calon selepas Muhyiddin mengisytihar Isa sebagai lawan Zulkefley.

Sejak 20 tahun lalu, apabila Shahrir Samad memalukan Dr Mahathir di Johor Bahru, Presiden Umno hampir tidak pernah berkempen dalam pilihan raya kecil.

Apakah BN begitu terdesak menghantar pengerusinya menemui pengundi terutama selepas ada desakan masyarakat India agar Najib sendiri turun padang?

Memilih Isa seolah-olah bermakna Umno begitu ghairah mencari untung seringgit dua hari ini tetapi bersedia untuk rugi ratusan ribu nanti. Soalnya, Umno lebih takutkan kalah di Bagan Pinang dan mahu memadamkan segera obor semangat pendokong Pakatan.

Dalam masa sama, ada pihak mengingatkan, jentera Pakatan tidak wajar hanya menumpukan kempen menyerang personaliti calon BN, malah dibimbangi ia menjadi "perangkap" kepada PAS.


Agak sukar menelah sikap pengundi Melayu di pinggir bandar dan kawasan kampung dalam isu-isu berkaitan rasuah. Misalnya, ada calon yang sinonim dengan salahguna kuasa, seperti Khir Toyo, boleh menang lebih besar dalam pilihan raya! Dan saya rasa kes calon BN di Permatang Pasir mungkin berbeza dengan kes Isa.

Usah berasa selesa dengan andaian bahawa kita sudah mendapat 'bonus' dengan pemilihan Isa. Belum tentu lagi. Selain itu, isu undi pos hendaklah dibangkitkan secara berterusan; jangan berhenti di Bagan Pinang sahaja. Talian hayat Umno ini mesti dicantas sebelum pilihan raya umum ke-13 dijalankan.

II.

Berbicara hampir sejam dengan Dato' Dr Hasan Ali, di pejabatnya, petang 29 September lalu, memang mengasyikkan. Meskipun dibebani dengan isu-isu yang tentu berat untuk ditanggungnya, apatah lagi 'serangan' dari rakan-rakan dalam parti dan Pakatan Rakyat sendiri, saya perhatikan Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor itu tetap ceria bercerita dan menjelaskan pelbagai isu, terutama berkaitan Selcat.

Berdepan cemuhan seteru politik Umno-BN pastinya sesuatu yang lumrah tetapi bersemuka kritikan kawan-kawan seperjuangan tentu Dr Hassan terasa lebih perit.


Pertemuan hari itu mulanya hanya untuk sembang-sembang, terutama untuk menyelami isu sebenar yang ghairah dimanipulasi media. Saya tidak bercadang mengadakan wawancara khas dengan Pesuruhjaya PAS Selangor itu, bimbang ia makin mengeruhkan lagi suasana.

Memang kedudukan Selangor tidak segenting Perak (ketika diperintah Pakatan dulu) ataupun Kedah, tetapi untuk memberikan lebih banyak bahan kepada seteru politik bagi menyerang negeri termaju itu tentulah langkah tidak bijaksana.

Sebagai akhbar rasmi parti, Harakah harus lebih berhati-hati. Malangnya sikap terlalu cermat itu mungkin ditanggapi secara negatif oleh pembaca yang sentiasa dahagakan maklumat dan perkembangan terbaru.

Dr Hasan, yang saya kenal agak rapat ketika tercetusnya isu salahguna kuasa dua Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar dan Dr Khir Toyo, mulanya agak keberatan untuk berbicara secara khusus tentang Selcat.

Beliau mahu menjelaskan topik yang lebih umum dan menyeluruh khususnya berkaitan pembabitan PAS dalam kerajaan negeri: "Sesekali berjumpa ... kita elok bercakap hal-hal yang lebih besar."

Ditanya sikapnya terhadap dakwaan Speaker Dun Selangor, Teng Chang Khiim (yang disiarkan sebagai tajuk utama hampir semua akhbar 29 September) bahawa beliau berbohong, Dr Hasan enggan menjawab. "Biarlah, kita tengok dulu," katanya.

Saya segera teringat hubungan baik dan intim mereka khususnya semasa sama-sama membongkar kes Khir dalam sidang Dun Selangor tujuh tahun lepas.

Kepada wartawan Saidah Hairan yang turut hadir dalam pertemuan itu, Dr Hasan mengajukan: "Saidah pun tahu ketegasan Teng semasa mengendalikan sidang Dun sekarang. Memang dia ada kehebatan tersendiri, sukar wakil rakyat lain menyainginya."


Memang, khabarnya sesama rakan Adun Pakatan pun, sebagai Speaker, Teng bersikap tegas, termasuk anggota Exco. Malah Dr Hassan pun ditegurnya jika menjawab berjela-jela!

Nampak Dr Hasan mempunyai pandangan tersendiri untuk memperkukuhkan Pakatan di Selangor, terutama di kawasan-kawasan majoriti Melayu. Cadangannya untuk menambahbaikkan Selcat juga dilihat memberi keuntungan kepada semua pihak dan langsung tidak merugikan mana-mana parti dalam Pakatan.

Dijolok pertanyaan bahawa ada kalanya suara beliau senada dengan kritikan Umno terhadap kerajaan Pakatan, beliau tidak melatah. "Hal ini tak timbul sama sekali," katanya tersenyum.

"Walaupun PAS hanya ada lapan kerusi Dun, tetapi saya tidak pernah berasa kecil untuk memikul amanah, khususnya memperjuangkan kepentingan Islam dan Melayu. Tetapi tidak pula saya meminggirkan rakan-rakan bukan Melayu yang perlukan pertolongan. Biar sesiapa pun, bangsa, agama atau parti mana pun, saya akan cuba membantu," tambahnya.

-detikdaily.net-

Tiada ulasan: