MENJELANG Syawal lalu saya menerima satu email dari seorang penuntut berbangsa Melayu di luar negara yang mengadu masalah mendapatkan bantuan kewangan daripada Mara. Pelajar berkenaan mengeluh dan kesal kerana Mara gagal menyalurkan bantuan kewangan kepada pelajar. Pelajar itu mempersoalkan kenapa berlaku demikian.
Beliau sendiri sudah beberapa kali menghubungi Mara bertanyakan mengenai hal itu. Malangnya pihak Mara menjelaskan institusi itu tidak mempunyai dana untuk menampung bantuan kepada para pelajar yanng mula disalurkan pada tahun 1974 itu.
Pelajar itu mempersoalkan kenapa berlaku keadaan demikian? Sebelum ini katanya walaupun negara dilanda kemelesetan ekonomi, tetapi Mara masih lagi dapat menghulurkan bantuan.
Apakah keadaan kewangan Mara hari ini begitu teruk, tanya beliau? Dan kalau benar teruk apakah tidak ada usaha dan ikhtiar untuk menambahkan dana untuk pendidikan, soalnya lagi?
Menurut pelajar itu disebabkan Mara tidak sedia membantu pelajar menyebabkan pelajar di luar negara yang miskin dan tidak ada sponsor menghadapi dilema, sama ada hendak meneruskan pelajaran ataupun tidak. Untuk pulang sayang kerana pengajian sudah masuk suku atau separuh jalan. Manakala hendak terus wang pula tidak ada.
Tujuan pelajar berkenaan mengadukan masalah itu kepada saya ialah untuk dihebahkan perkara ini. Beliau mahu perkara ini dibaca dan diketahui oleh pihak atasan, ahli politik, pihak Mara dan juga menteri-menteri sampai ke Perdana Menteri. Harapan besarnya semoga masalah yang mereka hadapi diselesaikan dan nasib mereka terbela. "Tolonglah Tuan bagi tahu kepada pihak atasan termasuk perdana menteri," tulisnya.
Sebenarnya keluhan dari pelajar luar negara ini bukan pertama kali tetapi sebelum ini sudah ada beberapa pelajar mengadukan hal yang sama. Manakala surat rayuan untuk mendapatkan derma pengajian tiba di rumah boleh dikatakan setiap bulan, terutamanya pelajar Timur Tengah.
Pelajar itu juga mempertikaikan sikap kerajaan yang memberi galakan anak-anak Melayu mengambil kursus kritikal dan profesional untuk meningkatkan daya dan kualiti hidup. Tetapi malangnya apabila ada anak-anak Melayu menyahut seruan itu, belajar bersungguh kerana untuk mengambil pengajian dalam bidang-bidang kritikal, peruntukan kewangan pula tidak diberikan. Keadaan ini katanya samalah seperti tahu melahirkan anak tetapi tidak tahu membekalkan makanan untuk mereka. (Kejam - MSO).
Sedih membaca email pelajar berkenaan. Apabila beliau mengirimkan kepada saya menceritakan masalah itu menunjukkan ia sudah sampai ke peringkat kritikal memikirkan masalah itu. Pelajar itu juga sudah buntu tidak tahu ke mana lagi hendak adukan masalahnya.
Kita boleh bayangkan betapa susahnya pelajar bersendirian berada di luar negera. Kos hidup dan peralatan pengajian tinggi. Bagi anak ahli korporat, anak pegawai tinggi kerajaan atau anak ahli politik, tidak menjadi masalah. Tetapi bagi anak nelayan, penoreh getah, pengayuh beca, cikgu sekolah rendah di mana nak dapatkan wang?
Dalam pada itu kita memahami masalah kewangan Mara pada masa ini. Kerajaan sudah menjelaskan mengenai hal itu berkali-kali. Justeru itulah pihak Mara sendiri telah membuat rayuan termasuk di akhbar kepada peminjam agar membayar balik pinjaman. Tindakan mahkamah yang kadang-kadang memalukan orang Melayu juga dibuat ke atas peminjam yang sengaja tidak mahu membayar. Ini semua menunjukkan kewangan Mara sudah nazak sampai terpaksa menagih hutang di depan publik.
Tetapi itu sebenarnya bukan alasan. Mara ditubuhkan untuk membantu orang Melayu dalam bidang utama; pendidikan dan usahawan. Itulah matlamat Mara. Penubuhannya dibuat menerusi akta Parlimen. Ianya bukan sengaja diwujudkan dan bukan juga secara sembunyi yang perlu diselindungkan kepada sesiapa pun. Mara adalah wadah membantu ekonomi dan pendidikan Melayu.
Kalau benar dana pendidikan Mara sudah kering, Mara harus mencari wang bagi meneruskan bakti mereka kepada anak-anak bangsa. Apa jalan sekalipun perlu diusahakan untuk tidak menghampakan harapan orang Melayu. Kalau Mara terpaksa mencuri dan merompak, ia halal dilakukan demi membantu orang Melayu.
Dalam usaha mendapatkan dana pendidikan Mara ini, pemimpin politik (Melayu) juga perlu kebijaksanan dan keberanian. Banyak instrumen atau saluran yang boleh dibawakan duit untuk Mara. Banyak institusi kerajaan (GLC) yang kaya raya dan boleh membantu Mara. Ingatlah hanyalah peruntukan menerusi Mara sahajalah yang merupakan gratis kemerdekaan kepada orang Melayu yang rebah dan menyulur memerdekakan negara ini. Apakah gratis yang kecil dan tidak seberapa ini pun hendak dihapuskan atau dinafikan juga kerana ada yang mengkritik dan mencemburuinya?
Mengenai masalah Mara ini, sebenarnya ia bukan tidak mendapat peruntukan. Setiap tahun kerajaan menyalurkan peruntukan berbillion ringgit. Tetapi apa yang berlaku ialah penyalahgunaan peruntukan ataupun pengurusan kewangan tidak berhemah dan berlaku pembaziran secara mentah-mentah. Perbelanjaan digunakan secara membazir dan pembaziran itu tidak pada tempatnya. Kekeringan tabung kewangan Mara juga buka kerana ia disalurkan kepada rakyat, tetapi disebabkan berlaku penyelewengan, atau rompakan dalaman Mara itu sendiri yang 'dirangah' oleh para kroni.
Banyak laporan dan gosip-gosip yang menceritakan bagaimana wang Mara disalahgunakan. Akibat ini segelintir kumpulan sahaja yang mendapat manfaat dan orang lain yang sepatutnya berhak menerima dinafikan. Seolah-olah institusi Mara dibangunkan untuk membantu segelintir manusia saja. Selalunya yang mendapat manfaat Mara ialah manusia berbangsa Umno dan kroninya saja ataupun yang menguasai badan berkenaan.
Bentuk rompakan ke atas Mara dilakukan dengan berbagai cara dan taktik. Satu contoh apabila Mara mencadangkan untuk mewujudkan kolej komuniti Mara di setiap bandar besar di negara
ini siapa yang mengaut keuntungan daripada projek berkenaan? Bukankah orang yang mencari bangunan atau tapak untuk kolej itu para pemimpin Umno. Bagaimana penyelewengan berlaku. Mereka akan menaikkan harga berkenaan berlipat kali ganda. Misalnya harga bangunan sebenarnya ialah RM5 juta tetapi dimark up sampai RM25 juta. Jadi yang lebih RM10 juta itu ke mana?
Sebab itulah kroni pemimpin Umno kaya raya dan hidup mewah. Pendapatan mereka adalah daripada projek-projek seumpama itu. Cuba check dan periksa sumber kewangan ketua-ketua bahagian dari mana. Boleh dikatakan semua ketua bahagian Umno ada lesen kelas A ataupun kroni yang memiliki lesen kelas A.
Banyak kalau nak disebut mekanisme untuk mendapat wang panas atau wang terpijak ini dari agensi Mara. Satu lagi contoh ialah mengenai projek yang disalurkan menerusi Tabung Ekonomi Usahawan (Tekun). Cerita Tekun ini saya akan kisahkan lain kali. Panjang kalau nak dihuraikan fasal Tekun di sini. Ada kes special mengenai Tekun ini yang berlaku di depan mata dan menimpa anak buah saya sendiri.
Kesimpulannya di sini kenapa kantong Mara kering kontang ialah kerana ianya dicurah kepada projek-projek berkenaan yang dikendalikan oleh kroni Umno. Selagi tidak ada pemantauan dan pembaiki dalam penggunaan wang ini, laborkan seberapa banyak wang pun ia tidak akan mencukupi. Dan apa yang paling menyesalkan wang sepatutnya digunakan untuk membantu orang Melayu dalam pendidikan dan perusahawan itu melayang ke tangan pihak lain yang tidak memberi pulangan menguntungkan kepada negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan