Zulkifli Solung
“Tahu tak, kerajaan negeri Kelantan yang ada ini dapat bertahan hampir 20 tahun kini kerana telah menubuhkan 29 jabatan yang baru. “Jabatan yang baru ini pula ditubuhkan untuk mengelak pemimpin kerajaan yang ada bertembung dengan pegawai kerajaan dan untuk membolehkan kerajaan yang ada mengawal sepenuhnya jabatan-jabatan baru ini.”
Ini adalah makluman yang diberikan oleh Rosli Abdullah, timbalan pengurus Tabung Tok Kenali, salah satu jabatan yang diwujudkan oleh kerajaan negeri negeri Kelantan sejak PAS mentadbir negeri ini mulai 1990.Tabung Tok Kenali umpama jabatan kebajikan masyarakat di Kelantan. Ia ditubuhkan selepas kerajaan negeri di bawah PAS merasakan betapa sukarnya untuk mendapatkan kerjasama sepenuhnya dari jabatan berkenaan. Ini kerana kakitangan kerajaan negeri khasnya pegawainya bukannya mematuhi kerajaan negeri sepenuhnya tetapi patuh kepada pihak lain walaupun kerajaan negeri Kelantan membayar gaji mereka.
Selain, Tabung Tok Kenali, turut ditubuhkan di Kelantan oleh kerajaan negeri yang ada adalah Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK). Tujuannya adalah untuk membolehkan kerajaan negeri yang ada boleh mengawal sendiri beberapa projek penting kerajaan.
Kelantan juga menubuhkan Pusat Kajian Strategik (PKS). Padahal dalam masa yang sama sudah ada satu pusat kajian di bawah Unit Perancang Ekonomi (Upen). Namun, bagi membolehkan kerajaan negeri yang ada mengawal penuh pusat kajian ini, PKS ditubuhkan.
Kenapa semua ini dibuat? Ini kerana kerajaan negeri tidak mahu bertembung dengan pegawai yang ada. "Kalau kamu tidak boleh dengar kata aku, aku tubuh jabatan baru yang boleh dengar dan memahami apa kehendak aku," mungkin itu yang dikehendaki Kelantan.
Kerajaan negeri tidak boleh bertembung dengan para pegawai kerajaan ini kerana pegawai atau kakitangan kerajaan adalah antara tiang-tiang utama dalam politik Malaysia khasnya politik Melayu.
Pegawai dan kakitangan kerajaan amat berpengaruh kepada masyarakat Melayu. Kalau mereka mengambil sikap menentang sesuatu parti alamak sukarlah parti itu.
Mereka dengan mudah akan mempengaruhi rakyat yang berhubung dengan mereka. Apatah lagi kalau mereka mempengaruhi atau menjual cerita buruk sesuatu parti kepada keluarga dan orang kampung mereka.
Inilah pengalaman yang dipelajari pemimpin politik khasnya pemimpin PAS di Kelantan. Mereka tidak boleh bertembung dengan pegawai kerajaan.
Bagi memastikan perancangan dan dasar yang mereka putuskan terlaksana, jabatan baru ditubuhkan sebagai tambahan kepada jabatan-jabatan kerajaan yang sudah ada.
Tabung Tok Kenali adalah antara contohnya. Inilah antara jabatan penting di Kelantan yang telah melaksanakan sepenuhnya visi negeri kebajikan yang diilhamkan oleh pimpinan PAS di negeri itu. Bayangkan Kelantan tanpa Tabung Tok Kenali? Maka tidak adalah pelbagai skim kebajikan yang dilakanakan oleh kerajaan negeri sekarang.
Apabila berlaku pertembungan antara Datuk Dr Hasan Ali dengan Selcat di Selangor, saya tidak faham mengapa para pemimpin DAP sukar benar memahami hujjah Hasan yang membela pegawai kerajaan di Selangor. Bagi mereka, Hasan telah silap membaca politik di Selangor.
Bagi saya, Hasan memang silap apabila menegur Selcat melalui media. Selaku salah seorang anggota Exco kerajaan negeri, beliau sepatutnya membela kerajaan negeri di media dan menegurnya dalam mesyuarat bersama mereka.
Hasan seolah-olah berperanan seumpama pembangkang di Selangor. Ia kontra sekali dengan peranan yang dimainkan oleh Khalid Samad, anggota Parlimen Shah Alam.
Bagi saya, peranan yang dimainkan oleh Hasan ini sepatutnya diambil oleh Khalid. Ini sudah terbalik, Hasan mengambil tugas Khalid, Khalid pula menjadi pembela kerajaan negeri.
Namun begitu, saya amat menyokong pandangan Hasan tentang hubungan dengan pegawai kerajaan. Bagi saya, PAS atau lain-lain parti dalam Pakatan tidak boleh menambahkan musuh mereka. Cukuplah Umno dan BN sebagai musuh mereka. Ini kerana, pegawai kerajaan sebagaimana istana akan kekal di situ walaupun parti mana yang memerintah.
Saya juga bersetuju dengan Hasan yang menjadikan pengalaman bekas MB Selangor, Datuk Seri Khir Toyo yang menghadiahkan penyapu kepada pegawai kerajaan, sebagai contoh. Jelas, penghinaan yang dibuat Khir kepada pegawai kerajaan membawa padah dan menjadi salah satu faktor kejatuhan BN di Selangor.
Ada kawan saya berhujjah, jika kita tidak boleh menukar pegawai kerajaan apa gunanya kita menjadi kerajaan. Sedangkan, bagi beliau, pegawai kerajaan adalah antara pusat segala kegiatan rasuah berlaku.
Saya bersetuju bahawa, pegawai yang dilantik berdasarkan merit politik perlu ditukar. Ini kerana, pegawai jenis ini akan bekerja berdasarkan kefahaman politiknya bukan kerana dia makan gaji semata-mata.
Oleh itu, langkah kerajaan negeri Selangor mengekalkan pegawai-pegawai kanan negeri hatta Ketua Puteri Umno pun masih memimpin GLC di Selangor adalah satu kesilapan.
Oleh itu, Tan Sri Khalid Ibrahim selaku ketua kerajaan negeri Selangor perlu membersihkan kakitangan dan dalam masa yang sama mengekalkan hubungan harmoni dengan pegawai kerajaan. Saya yakin, sebagai kumpulan masyarakat yang berpelajaran, mereka tahu membezakan yang mana permata dan yang mana kaca.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan