"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

UBN Najib Altantuya: "Pajak kereta import:Najib menampar muka sendiri?


 Kerajaan mungkin menggantikan Proton Perdana V6 Executive dengan kereta mewah yang diimport sebagai kereta rasmi.

The Malaysian Insider memetik berita ini daripada sumber dalaman kerajaan, bahawa kerajaan mengambil keputusan untuk menggantikan Proton Perdana V6 Executive yang lama, dengan kereta mewah yang diimport. Keputusan ini dibuat memandangkan pengeluaran model Perdana V6 bakal dihentikan pada tahun depan.

Sekali imbas, pemimpin BN pernah menyelar kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor dan Perak kerana "tidak patriotik", ekoran daripada keputusan untuk menukarkan kereta nasional dengan Toyota Camry sebagai kereta rasmi kerajaan.

Malah, setelah rampasan kuasa, Menteri Besar Perak, Zambry Abdul Kadir melelongkan segera Toyota Camry yang belum genap tiga bulan digunakan kerajaan PR.

Keputusan menggunakan kereta import mewah sebagai kereta rasmi kerajaan seumpama meludah ke langit. Seandainya apa yang dilaporkan The Malaysian Insider itu benar, maka keputusan sedemikian memberi tamparan yang sengit buat kerajaan Najib.

Kontrak bernilai RM80 juta setahun

Sebagaimana yang diketahui, kereta import mewah tersebut termasuklah Mercedes Benz S class, BMW 5 series, Toyota Camry dan sebagainya. Kerajaan akan memajakkan kereta ini dari syarikat swasta, Spanco Sdn Bhd untuk tempoh empat tahun.

Spanco Sdn Bhd adalah salah satu "produk" projek penswastaan, menawarkan perkhidmatan pajakan dan pembaikan kereta untuk kerajaan. Perjanjian konsesi untuk tempoh 25 tahun ini (sehingga tahun 2018) bernilai RM80 juta setahun.

Menurut sumber dalaman kerajaan tersebut, bayaran pajakan kereta baru adalah lebih rendah, maka akan mengurangkan kos pada peringkat awal (initial cost). Namun, Spanco Sdn Bhd boleh mempertingkatkan kadar bayaran perkhidmatan pengendalian kemudiannya, dan ia mungkin mengakibatkan matlamat kerajaan untuk berjimat tidak kesampaian.
Sementara itu, The Malaysian Insider memetik dari sumber dalaman kerajaan, bahawa hakim telah memutuskan untuk menggunakan kereta Mercedes Benz. Kereta tersebut telah mula dipasang di kilang dalam kawasan Parlimen Najib, Pekan.

Keputusan ini mencungkil dua kontradiksi yang nyata. Pertamanya, wakil rakyat BN pernah membidas keputusan kerajaan PR negeri Selangor dan Perak untuk menukarkan Perdana V6 kepada Toyata Camry sebagai tindakan yang tidak patriotik. Kerajaan negeri BN Terengganu turut berdepan dengan bantahan apabila memutuskan untuk membeli 14 buah kereta Mercedes Benz untuk menggantikan Perdana V6.

Spanco Sdn Bhd pernah dipertikai

Keduanya, pada tahun 2004, Kementerian Kewangan telah melantik syarikat perunding pengurusan bebas Tetuan Coopers & Lybrand untuk mengkajian perjanjian konsesi Spanco Sdn Bhd ini, kerana "bayaran harga yang terlalu tinggi" dikenakan terhadap kerajaan.

Menurut laporan Malay Mail, setelah dikaji semula, nilai perjanjian konsesi ini telah dikurangkan dari RM100 juta setahun kepada RM80 juta setahun. Kementerian Kewangan membuat keputusan untuk mengkaji semula program penswastaan ini setelah TPM ketika itu, Najib menyatakan bahawa "kerajaan akan mengkaji semula perjanjian konsesi yang tidak adil".

Malah, Najib pernah berkata bahawa kerajaan tidak akan mengulangi kesilapan yang sama. Oleh sebab itu, sekiranya kerajaan yang diterajui Najib memutuskan untuk"menggantikan Perdana V6 dengan kereta import", maka langkah ini seolah-olah menampar muka sendiri.

Pada hakikatnya, pertikaian terhadap Spanco Sdn Bhd pernah diungkit dalam parlimen pada tahun 1998. Menurut
Penyata Rasmi Parlimen ke-9, penggal keempat yang bertarikh 25 November 1998, Timbalan Menteri Kewangan ketika itu Wong See Wah pernah memberi perjelasan mengapa Spanco Sdn Bhd diberikan perjanjian konsesi tersebut.

Kebetulannya, Kementerian Kewangan juga melantik Tetuan Coopers & Lybrand untuk mengkaji program penswastaan tersebut. Bekas ahli parlimen, Nungsari bin Ahmad Radhi ketika itu mempertikai mengapa kerajaan melantik Tetuan Coopers & Lybrand untuk membuat penilaian selepas program itu dijalankan, dan bukan sebelumnya.

1998: Projek pajak kereta
Kerajaan mula memajakkan kereta dari syarikat Spanco Sdn.Bhd dan tidak lagi membeli kereta untuk pegawai tinggi dalam kerajaan pada tahun 1994. Namun, bekas PM Mahathir Mohamad memberhentikan program penswastaan ini selepas kemelut ekonomi tahun 1997. Pada tahun 1998, program ini diberi nafas baru atas alasan "mengkaji semula keperluan program penswastaan".

Spanco Sdn Bhd dikuasai Tan Hua Choon, usahawan Cina yang terkemuka. Tan yang amat rapat dengan bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin (gambar di kiri), dilihat sebagai usahawan yang bangkit dengan dorongan kuasa politik pada zaman Mahathir. Hubungan antara Tan dengan Daim memberi lampu hijau kepadanya untuk menguasai beberapa sumber negara, termasuk saham beberapa syarikat tersenarai.

Selain anak Tan Hua Choon, Tan Han Chuan dan Tan Ching Ching, Lembaga Pengarah Spanco Sdn Bhd terdiri daripada Osman bin Mohd Daim, Abdul Rashid Harun, Hamzah Mohamad Salleh dan lain-lain. Hamzah Mohamad Salleh ialah Ketua Pegawai Eksekutif Spanco, sementara Osman bin Mohd Daim dan Abdul Rashid Harun sebagai rakan sepakat Tan Hua Choon dalam dunia perniagaan.

*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor
MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting Lim Hong Siang.

Tiada ulasan: