"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nizar vs Zambry: Pemuda PAS optimis DUN Perak bubar


 PARIT BUNTAR, 29 Sept. : Dewan Pemuda PAS Perak optimis DUN Perak akan dibubarkan berdasarkan perkembangan politik semasa yang berlaku dalam negeri Perak . Demikian kenyataan Setiausaha Dewan Pemuda PAS Perak Dr. Raja Ahmad al-Hiss semasa berucap di majlis Himpunan Anak Perantauan PAS Parit Buntar di sini.

"Mereka menghadapi masalah mengadakan sidang DUN kerana speaker yang mereka lantik tidak sah. Perlantikan Ganesan tidak dibuat berdasarkan peraturan DUN Perak. Mahu tidak mahu, DUN Perak pasti akan bubar” Katanya.

Beliau meminta anak perantau Parit Buntar dapat sama-sama membantu PAS Parit Buntar menghadapi pilihanraya negeri Perak jika DUN Perak dibubarkan.

 Turut hadir meraikan anak perantau ialah Yang Dipertua PAS Parit Buntar Haji Harun Hashim dan bekas ADUN Titi Serong Ahmad Azhar Sharin.

Majlis Himpunan Anak Perantauan yang diadakan di Dewan Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husin menarik kehadiran yang menggalakkan dari anak perantau yang pulang berhari raya di kampung.

Lebih 100 orang perantau hadir ke majlis yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Parit Buntar dan Dewan Muslimat PAS Parit Buntar ini.

Sementara itu, Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Sembilan Shamsul Kamal Idris yang turut berucap melahirkan keyakinan PAS akan memberikan tentangan paling sengit dalam pilihanraya kecil Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

“ Kita telah wujudkan satu Unit Peti Undi (UPU) khas bagi pengundi pos. UPU ini akan bertanggungjawab terhadap segala proses berkaitan undi pos” Kata Shamsul yang merupakan anak kelahiran Parit Buntar

Ketua Pemuda PAS Parit Puntar Khairulzami Muhammad berkata, tahun ini adalah tahun kesepuluh Dewan Pemuda menganjurkan Himpunan anak perantauan.

“Dewan Pemuda akan meneruskan agenda tahunan ini bagi merapatkan hubungan anak perantau dengan PAS Parit Buntar” katanya

Menurutnya lagi, anak-anak perantau boleh mengikuti perkembangan politik terutamanya aktiviti PAS Parit Buntar dalam laman PAS Parit Buntar di alamat paritbuntar.pas.org.my

“Mereka juga boleh menyalurkan pandangan dan sumbangan mereka melalui laman ini” katanya.

Khairulzami berkata majlis dialog tidak dapat dibuat kerana kesuntukan masa bagi memberi peluang tetamu yang hadir menikmati jamuan raya.

 “ Pelbagai juadah seperti nasi himpit, bihun sup dan kueh raya disajikan kepada anak perantau yang hadir”

“Saya mengucapkan terima kasih semua yang terlibat menjaya himpunan ini terutamanya anggota Unit Amal Parit Buntar yang menjadi mentara pada majlis ini” katanya.

Tiada ulasan: