"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tak perlu sembunyi-sembunyi, elok luahkan saja... / UBN Najib Altantuya

Sama ada ketika itu atau hari ini saya tidak pernah melawan atau berdendam dengan mereka. Saya tidak pernah menganggap tindakan mereka mengaibkan saya, bahkan kerana merekalah hari ini saya cukup sifat sebagai seorang manusia.

Ketika itu, jika ada antara kami yang malas, ponteng atau melakukan kesalahan dan berjaya ditangkap kebetulannya pada hari perhimpunan mingguan, maka kami akan dihukum berdiri di hadapan perhimpunan dari awal sampai akhir.

Itupun kami terima bukan sebagai suatu penghinaan atau perkara mengaibkan, malahan itulah sebenarnya yang mendidik kami tentang disiplin dan aturan.

Hari ini suasananya sudah berbeza. Anak murid boleh sahaja menyaman gurunya kerana tidak puas hati didenda dan dihukum,

Kartika yang bersedia dirotan menggamit polemik besar dan panjang di seluruh negara (padahal cara merotan cikgu-cikgu saya dahulu nyata lebih kuat berbanding cara merotan syariah).

Yang terbaru tentulah tentang wujudnya dakwaan kononnya kaedah siasatan yang dilakukan oleh Selcat (Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor) di bawah Dewan Undangan Negeri Selangor dikatakan mengaibkan mereka yang disiasat dan dipanggil memberi keterangan, khususnya para pegawai daerah.

Rumusan saya hanya satu, masyarakat kita hari ini semakin manja. Sudah pasti para pegawai daerah di Selangor ini adalah sebahagian dari masyarakat kita hari ini, masyarakat yang sama yang menyerang dan menyaman guru bila anak mereka didenda dan dihukum, masyarakat yang sama yang membangkang separuh mati bila Kartika bersetuju mahu dirotan.

Lalu baru saya menyedari mengapa hidup masyarakat kita, muda-mudi kita dan anak-anak kita kebelakangan ini semakin songsang dan sumbang. Kita semakin menolak perbicaraan dan pengadilan, kita takut dengan keterbukaan dan hukuman.

Namun dalam isu Selcat, ada persoalan yang tidak terjawab sehingga kini. Setahu saya pegawai kerajaan, termasuk para pegawai daerah biasanya mempunyai persatuan atau kesatuan mereka sendiri.

Peliknya, ketidakpuasan hati mereka seperti didakwa terhadap perjalanan siasatan Selcat tidak disuarakan oleh persatuan atau kesatuan mereka, tetapi oleh Exco Kerajaan Negeri Selangor sendiri, iaitu Datuk Dr. Hasan Ali.

Secara peribadi saya bersetuju dengan cara Selcat. Sesuai dengan namanya yang bersandarkan kepada transparensi dan akauntabiliti, Selcat harus terbuka. Saya juga menyokong kenyataan Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim bahawa Selcat tidak akan mengubah kaedah dan tatacara siasatannya.

Saya tidak fikir populariti di kalangan pegawai daerah itu penting jika Selcat terpaksa mengorbankan sesuatu yang lebih baik dan memilih yang kurang baik.

Tidak wajar untuk sesuatu siasatan dijalankan secara tertutup semata-mata kononnya mahu menjaga aib orang. Kesudahannya ia boleh mengundang wujudnya fitnah.

Siasatan atau perbicaraan yang tertutup boleh sahaja memungkinkan berlakunya perbincangan dan tawar-menawar, atau munculnya tuduhan bahawa perkara sedemikian berlaku, maka Selcat yang terbuka dibentuk bagi menjulang moto yang kerajaan bukan sahaja perlu bersih tetapi kelihatan bersih.

Soalnya kenapa takut diaibkan jika tidak ada kesalahan yang dilakukan? Kita mengajar anak-anak kita supaya berkata benar, berkata benarlah walaupun pahit, berani kerana benar, takut kerana salah. Tetapi bila keperluan itu jatuh ke pundak kita, kita merekacipta pelbagai alasan untuk tidak mahu ke hadapan bagi menyatakan kebenaran.

Maka digunalah alasan siasatan itu disiaran langsungkan, ia boleh mengaibkan! Bersiaran langsunglah ke seluruh dunia sekalipun, bukankah menyatakan kebenaran itu sesuatu yang mulia?

Saya menjadi hairan dengan Hasan Ali. Sebagai orang nombor satu PAS di Selangor, beliau tentulah cukup alim tentang Islam, termasuklah tentang sirah nabawi.

Bukankah ketika zaman Nabi dahulu, apa sahaja sidang perbicaraan, siasatan, inkues mahupun penjatuhan hukuman dilakukan di masjid? Dan bukankah masjid itu tempat terbuka?

Apakah Hasan Ali fikir Nabi tidak mengambil kira soal aib orang bila semua ini dilakukan di masjid? Islam memang mengajar kita tidak mendedah aib sesama kita, setakat yang diperlukan.

Namun bila sampai kepada memartabatkan kebenaran, ia tidak harus ada kompromi. Adakah Hasan Ali cuba mengajar rakan-rakan pimpinannya dalam Pakatan Rakyat Selangor dari DAP dan PKR bahawa Islam hanya membenarkan perbicaraan dan siasatan dalam kamar, tidak boleh terbuka, nanti orang malu?

Betulkah Islam cara itu? Saya tidak melanggani cara pemikiran sebegitu, saya membetulkan kata sesetengah orang bahawa integiriti bukan untuk dilindungi tetapi untuk diuji.

Yang merisaukan saya, kritik terbaru Hasan Ali bukanlah datang kerana prihatinnya beliau akan keluh-kesah para pegawai daerah di Selangor.

Seperti yang semua maklum, Hasan Ali telah mencipta siri krisis dengan Kerajaan Negeri Selangor sejak dari awal terbentuknya Kerajaan Pakatan Rakyat di negeri tersebut lagi, padahal beliau adalah salah seorang dari anggota penerajunya. Ia seperti disusun secara sistematik dan Hasan Ali punya isu yang berbeza setiap kali beliau bersuara.

Isu-isu ini hanyalah tempelan. Ada sesuatu yang lain yang membuku dihatinya yang dipendam sekian lama. Elok luahkan sahaja, sebelum ia berubah menjadi bom jangka yang berbahaya.

Tiada ulasan: