"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bagan Pinang: Pemuda diseru beri komitmen penuh lawan BN

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 30 Sept: Dewan Pemuda PAS menyeru seluruh ahli dan penyokongnya agar memberikan sepenuh komitmen terhadap gerak kerja parti bagi menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Menurut Ketuanya Ustaz Nasrudin Hassan dalam blognya, kesungguhan dan sokongan padu daripada pemuda Pakatan Rakyat khususnya Pemuda PAS sendiri, amat penting untuk memastikan PAS dapat mengulangi kemenangan seperti yang telah dicapai dalam siri pilihan raya kecil sebelum ini.

"Tanpa mengabaikan segala aktiviti dan agenda perjuangan yang telah ditetapkan , semua pemuda diharap memberikan komitmen tinggi dan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi untuk mengulangi kecemerlangan yang telah dilakar,"jelas Nasrudin dalam blognya Episod Sebuah Perjuangan.

Beliau juga berkata, Pemuda PAS dengan semangat juang yang tinggi optimis untuk mencapai kemenangan di Dun Bagan Pinang meskipun mengakui jumlah undi pos yang hampir mencecah angka 5000 merupakan cabaran yang agak sengit bagi Pakatan Rakyat.

Namun beliau yakin cabaran dan kesukaran yang semakin sengit itu akan menjadikan pemuda lebih proaktif dan progresif dalam melakukan gerak kerja.

"Kami bersedia menghadapi apa jua kemungkinan dan telah siap menggerakkan strategi mencongak kemenangan berganda di Bagan Pinang,"katanya lagi.

Ujarnya, pelbagai strategi dan pendekatan telah diambil oleh Pakatan termasuk penubuhan skuad khas oleh Jentera Pilihanraya Pemuda PAS buat pertama kalinya untuk menangani undi pos yang diketuai oleh Ketua Penerangannya, Suhaizan Kaiat.

Beliau bagaimanapun mengingatkan seluruh jentera parti agar tidak terlalu yakin akan mencapai kemenangan sehingga bersikap sambil lewa. Sebaliknnya beliau menegaskan, pemuda harus menggandakan gerak kerja.

Selain itu, beliau turut mengingatkan pemuda agar sentiasa berdoa dan melakukan solat hajat memohon agar Alah SWT memberi kemenangan kepada Pakatan Rakyat.

Dalam pada itu, Pemuda PAS merakamkan ucapan tahniah kepada Zulkefly Mohd Omar yang diumumkan sebagai calon Pakatan Rakyat di dun berkenaan.

"Dewan Pemuda PAS Pusat mengucapkan selamat berjuang dengan penuh taqwa dan memikul tanggungjawab dengan penuh dedikasi kepada Tuan Hj. Zulkefli Mohd Omar Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan yang diamanahkan sebagai calon PAS mewakili Pakatan Rakyat,"tambah Nasrudin.

Zulkefly,45, yang merupakan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan diumumkan sebagai calon Pakatan Rakyat.

Pengumuman itu dibuat Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu majlis di Markas DAP Port Dickson malam tadi.

Zulkefly bakal berhadapan dengan calon Barisan Nasional, Tan Sri Isa Samad dalam pilihan raya raya yang akan berlangsung pada 11 Oktober depan.

Proses penamaan calon pula ditetapkan pada 3 Oktober.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong ekoran kematian penyandangnya, Azman Mohamad Noor dari BN yang menang dengan majoriti 2,333 dalam pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Azman yang juga naib ketua bahagian Teluk Kemang, menewaskan Ramli Ismail dari PAS yang mendapat 4,097 undi.

Tiada ulasan: