Beberapa foto berhubung lawatan beliau ke rumah pelakon kini disiarkan di internet termasuk didapati di laman facebook tokoh PAS itu.
Semalam Malaysiakini melaporkan dan memaparkan foto terkini Dr Lo' Lo' yang berhari raya bersama ahli keluarga beliau di Kedah dan Perak yang dimuatkan dalam laman blognya.
Turut dipaparkan Dr Lo' Lo' bersama-sama dengan Norlia ditemubual oleh wartawan TV3 berhubung kejadian yang mengejutkan pelakon yang memegang watak 'Joyah' dalam drama bersiri 'Opah'.
Gambar ahli parlimen itu menunjukan beliau menenangkan Norlia yang sangat sedih atas kehilangan anaknya itu turut dipaparkan dalam laman facebooknya itu.
Turut dipaparkan Norlia menunjukkan gambar anaknya kepada Dr Lo' Lo' dan wartawan TV3.
Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, Norlia mengesahkan lawatan ahli jawatankuasa PAS itu di rumahnya di Pangsapuri Murni, Keramat - yang terletak dalam parlimen Titiwangsa, sehari selepas kematian Edi.
Menurut Norlia, pertemuan itu berlangsung kira-kira selama sejam bersama dengan wartawan hiburan Melodi, Nas Ahmad yang datang serentak dengan tokoh PAS itu.
Dalam pertemuan tersebut, Norlia merayu kepada Dr Lo' Lo' agar mengambil berat tentang tahap keselamatan penghuni di pangsapuri berkenaan yang sering berlaku kejadian jenayah seperti kecurian dan rompakan.
"Saya tetap teruskan kehidupan saya seperti biasa untuk mencari rezeki. Kalau duduk sahaja dan menangis, anak saya tak balik juga. Perkara itu sudah tertulis," katanya dengan nada sedih
Dilaporkan tindakan berani Edi Rizal Ramli, 33, ketika cuba menangkap pencuri yang menceroboh sebuah unit di tingkat tujuh pangsapuri itu meragut nyawanya sendiri apabila dia terjatuh dari bangunan itu.
Kejadian pada kira-kira pukul 12 tengah hari, Ahad lalu menyebabkan Edi Rizal yang juga adik kepada pelakon Rusdi Ramli maut akibat tergelincir ketika mahu memanjat ke balkoni unit berkenaan.
Abang mangsa, Romiza, 36, dilaporkan berkata seorang lelaki dikatakan memasuki unit di tingkat tujuh dengan memanjat saluran paip dan Edi Rizal yang mahu menangkap lelaki itu turut berbuat demikian tetapi tergelincir akibat tidak dapat mencapai palang besi di anjung unit itu.
Romiza berkata terdahulu adiknya bergegas ke tingkat tujuh sebaik diberitahu seorang pencuri sedang bersembunyi di situ selepas lelaki berkenaan dikatakan memecah masuk unit kediaman di tingkat lapan.
-malaysiakini.com-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan