Chua membuat pengumuman itu lebih 10 jam selepas pertemuan beliau bersama peguam-peguamnya berakhir dengan keputusan hakim mengekalkan penghakiman denda RM2,000 atau penjara dua bulan.
Bagaimanapun Chua berkata, sekiranya beliau membuat rayuan ia hanya bertujuan untuk membuktikannya tidak bersalah, bukannya untuk meleraikan pertikaian kesahihan status sebagai Ahli Parlimen.Pertikaian tentang status beliau yang bermula Khamis berterusan hari ini.
Beliau mempunyai 14 hari untuk membuat rayuan. Selain beliau, pihak pendakwa juga mempunyai hak untuk membuat rayuan.
Pada sidang media lewat malam ini di bangunan Parlimen, Chua menegaskan, beliau masih seorang Ahli Parlimen Batu yang sah.
“Bagaimanapun saya masih mempertahankan, meskipun tidak dilucutkan kelayakan, bahawa ia adalah penghakiman tidak adil kerana saya tidak melakukan apa-apa kesalahan,” kata beliau.
Wakil rakyat penggal pertama itu memberitahu isunya bukan status beliau sebagai Ahli Parlimen tetapi Mahkamah Tinggi tidak melihat pada bukti bahawa beliau tidak menggigit sebagaiman didakwa.
Sambil mengulangi dirinya tidak bersalah, Chua berkata: “Saya tidak melakukan apa-apa jenayah.”
“Saya akan menunggu nasihat peguam saya dalam isu ini... bukannya berhubung status saya sebagai Ahli Parlimen, tetapi berhubung aspek yang saya tidak bersalah,” katanya.
“Tidak timbul isu berhubung status saya sebagai Ahli Parlimen sebab tiada ancaman bahawa kerusi saya telah diisytiharkan kosong,” katanya.
Berhubung pendirian Pengerusi DAP Karpal Singh bahawa beliau harus dilucutkan kerusinya, Chua berkata, beliau memahami pendirian peguam veteran itu yang membangkitkan isu undang-undang.
“Saya memahami apa yang Karpal lakukan. Hakikatnya beliau menekankan bahawa selagi adanya undang-undang yang tidak adil, kami akan terus menjadi mangsa undang-undang sedemikian,” katanya.
Chua menambah, sama ada RM2,000 atau RM2,500 bukan satu denda yang munasabah dalam kes-kes sedemikian untuk melucutkan kelayakan seseorang wakil rakyat.
“Undang-undang ini tidak harus wujud sama sekali,” kata beliau sambil menambah, undang-undang sedemikian tidak harus merangkumi mereka yang terlibat dalam aktiviti seperti perhimpunan aman atau mereka yang bercakap demi kepentingan orang ramai.
“Ahli-ahli Parlimen harus menikmati imuniti dalam menjalankan tugas mereka sebagai suara rakyat,” katanya.
Chua membuat pendirian itu beberapa jam selepas Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata wakil rakyat dari PKR ini kekal sebagai Ahli Parlimen sehingga satu usul menentukan status kelayakannya diputuskan oleh Dewan Rakyat.
Bagaimanapun menurut Pandikar, usul itu hanya akan dibawa selepas Chua menggunakan kesemua ruang yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.
Karpal terus menegaskan, Chua seharusnya dilucutkan kelayakan sebagai wakil rakyat sambil meminta Speaker agar mengisytiharkan kerusi tersebut sebagai sudah kosong.
Pagi tadi Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ghazali Cha mengekalkan hukuman denda RM2,000 atau penjara dua bulan terhadap Chua bertujuan supaya tiada pilihan raya kecil diadakan.
Keputusan itu dicapai dalam kamar hari ini.
Hakim itu juga menyatakan beliau tidak boleh mengubah keputusannya yang dibuat pada Khamis lepas, menurut Ranjit Singh yang mewakili Chua yang nama sebenarnya Chua Tian Chang.
“Tidak ada apa-apa perubahan. Hakim tidak bertujuan pilihan raya kecil diadakan, dan kes itu kini adalah functus officio (tiada had kuasa),” kata Ranjit.
Ghazali mengetepikan hukuman penjara enam bulan dan denda RM3,000 terhadap Chua oleh Mahkamah Majistret kerana mencederakan anggota polis pada 2007 dan mengantikannya denda RM2,000 atau dua bulan penjara.
Ketika menyampaikan keputusannya, Ghazali berkata seandainya hukuman yang dikenakan boleh menjadikan Chua tidak layak menjadi seorang anggota Parlimen, satu pilihan raya kecil terpaksa diadakan.
“Seperti yang diketahui pilihan raya kecil ini memerlukan perbelanjaan yang besar dan memberi kesan kepada keseluruhan rakyat negara ini begitu juga kesejahteraan dan keharmonian di antara pelbagai bangsa.
“Atas alasan ini saya berpendapat suatu hukuman yang setimpal yang tidak melibatkan banyak pihak adalah merupakan suatu hukuman yang adil,” katanya dalam penghakiman.
Susulan itu, Karpal berkata perlu mengosongkan kerusinya mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa seseorang anggota Parlimen hilang kelayakan jika beliau disabitkan oleh mahkamah dan dihukum penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan beliau tidak mendapat pengampunan.
Sebagai contoh, pada 1975, katanya anggota Parlimen DAP Fan Yew Teng terpaksa mengosongkan kerusi Parlimen Menglembu setelah beliau dihukum penjara enam bulan dan didenda RM2,000 kerana disabitkan kesalahan mengikut Akta Hasutan.
Mengikut Perkara 53 perlembagaan itu, seseorang anggota Parlimen akan hilang kelayakan serta-merta jika beliau tidak merayu mengenai keputusan mahkamah dalam tempoh 14 hari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan