Muhaimin Sulam
Pilihan raya negeri (PRN) sudah melabuhkan tirainya. Pentas sudah kosong. Cahaya lampu limpah tidak menyinar lagi. Para pengarah, pelakon, kru, dan penonton sudah berkemas-kemas pulang.
Pun begitu dalam konteks Amanah, jalan ceritanya masih jauh untuk menemui titik.
Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, meninggal dunia beberapa hari sebelum penamaan calon untuk PRN di enam negeri. Salah satu watak utama dalam drama politik mendebarkan itu wafat sewaktu persiapan kempen berada di tahap kemuncak.
Di peringkat Amanah, dia menjadi jeneral kepada jentera pilihan raya di semua peringkat, selain mengetuai jawatankuasa pengagihan kerusi dan calon.
Di atas pundaknya, segala kemelut paling kritikal dihadapkan dengan sepenuh perhatian sehingga nafas terakhir dihembuskan.
Seperti yang sering diungkap oleh Salahuddin, tertubuhnya kerajaan perpaduan bermakna - secara relatifnya - ruang Amanah semakin menguncup kerana ia perlu memberi ruang buat parti-parti lain untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dalam kerajaan.
Jangan diungkit soal pengorbanan. Dalam politik, semua pihak perlu berkorban, terkorban atau dikorbankan. Seperti yang sering diungkapkan oleh Salahuddin juga: time will tell. Salahuddin sendiri telah membuktikan ungkapan itu pada hujung nyawanya.
Pencapaian Amanah dalam PRN lalu tidaklah seperti yang diharapkan. Bertanding 31 kerusi, Amanah hanya menang lapan termasuk lima di Selangor dan masing-masing satu di Kelantan, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Sasaran untuk mengekalkan kemenangan di Selangor dan Negeri Sembilan seperti pada 2018 sedikit tergelincir.
Secara makro, jangkaan firma penyelidik berwibawa dengan keputusan 3-3 adalah suatu yang absah dan munasabah meski ada juga suara yang ingin menyanggah.
Agama jadi komoditi dagangan
Ada yang meramalkan aura PMX mampu melakukan kejutan di tiga kubu kuat PN. Mereka lupa bahawa bersandar kepada tempoh masa lapan bulan kerajaan perpaduan bukanlah langkah realistik untuk mengharapkan perubahan besar.
Idea madani masih belum bertunas dengan baik dalam lembah gersang pemikiran kebanyakan orang. Malah dalam kalangan pendukungnya, ia masih agak jauh dari jangkauan.
Prestasi Amanah di Kedah turut menyedihkan meski dari sudut nurani, hal itu perlu diakui hakikatnya. Ia berbeza daripada pencapaian di Terengganu - kalah pun tidaklah terlalu mengecewakan.
Dari awal Amanah Terengganu hanya dibekalkan dengan dua butir peluru untuk berdepan kubu terkuat PAS di negeri itu.
Semasa kempen, saya hanya melayan kegusaran diri sendiri dengan membacakan puisi tentang orang agama. Puisi karya Kiai HA Mustofa Bisri, Kaum Beragama Negeri Ini, adalah luahan derita sewaktu kata-kata fakta tidak memberi makna, dan agama sekadar barang dagangan untuk memperoleh keuntungan kelompok dan peribadi.
Tatkala politik sebegini, suara penyair memang diperlukan. Bukan untuk meraih undi tetapi menjernih keruh di hati. Tetapi realitinya juga sastera jarang mengubah realiti.
Kemenangan Amanah di DUN Kota Lama bolehlah dijadikan ubat penyembuh luka kekalahan di tempat-tempat lain. Amanah Negeri Sembilan sebelum ini mempunyai tiga Adun namun selepas 12 Ogos, hanya ada wakil tunggal dari Klawang.
Inilah waktu terbaik untuk Amanah - sebagai sayap Melayu progresif dalam PH - bermuhasabah tanpa menafikan potensi keadaan itu boleh menjadi lebih buruk oleh amukan propaganda PN.
Prestasi Umno pula terus merundum di kebanyakan tempat dan ia seperti sukar untuk disembuhkan.
Amanah perlu memposisikan dirinya sebagai sebuah parti Melayu Islam tanpa rasa ragu. Keputusan PRN di enam negeri membuktikan keperluan untuk memperkukuhkan Amanah dengan jalur legasi Salahuddin dalam PH.
Duta kasih sayang negara
Itulah benih politik Melayu Islam yang pernah membawa PAS ke landasan perdana sehingga hari ini.
Hanya di pertengahan jalan, kompas perjuangan PAS beralih arah kepada Melayu sebagai kuasa etnik. Sebahagian pemimpinnya mengambil jalan sukar dengan meninggalkan PAS dan menubuhkan Amanah.
Sebahagiannya kekal dalam PAS dan mengisi ruang yang ditinggalkan bersama pendekatan politik perkauman yang sempit.
Melayu tidak lagi sekadar budaya hidup bermasyarakat seperti yang pernah disebut oleh Salahuddin ucapan sebagai Ketua Pemuda PAS Pusat bertajuk Mendepani Cabaran pada 2005.
Ketika itu dia mengemukakan idea PAS berwajah Malaysia dan berperanan dalam gerakan politik nasional. Pada masa yang sama, Salahuddin mempertegaskan bahawa misi besar Pemuda PAS ialah untuk menjadi "duta penyelamat dan kasih sayang kepada negara."
Jika keris PN terhunus dan kaki pemukanya memijak tanah penuh gagah, tidak semestinya Amanah segera membuka langkah di medan pertempuran. Jika mereka menjual, jangan cepat dan melatah membelinya.
Salahuddin meninggalkan jalur politik yang boleh Amanah amalkan. Politik damai dan kasih sayang yang sinonim dengan slogan rahmah untuk semua.
Pada detik akhir hidupnya sebagai seorang pimpinan utama dalam kerajaan dan watak nombor dua terpenting dalam Amanah, banyak pertimbangan yang dibuat Salahuddin boleh direnung kembali.
Ini penting sebelum Amanah melangkah jauh.
Peranan penting untuk parti
Selang beberapa minggu lagi, pilihan raya kecil (PRK) diadakan bagi mengisi lompang yang Salahuddin tinggalkan. Sama ada di DUN Simpang Jeram atau kawasan parlimen Pulai, kedua-dua kerusi itu adalah hidup mati Amanah di persada politik tanah air.
Ia bukan sekadar persoalan Amanah Johor. Pulai dan Simpang Jeram adalah gambaran masa hadapan politik tanah air.
Pulai adalah kerusi parlimen kedua terbaik yang dimiliki Amanah jika dilihat dari segi kekuatan majoriti selepas Kota Raja. Simpang Jeram pula adalah satu-satunya kerusi yang menjadi tanda Amanah di dalam DUN Johor.
Kejayaan Amanah dalam PRK itu nanti tentu memberi tenaga dan semangat buat semua yang berkenaan. Namun perlu juga diingat, ia juga boleh menjadi pencetus buat PN lebih bersemangat.
Calon yang bakal menggantikan tempat itu tidak boleh sekadar menyambung legasi Salahuddin sebaliknya yang lebih utama ialah berperanan mengurus perhubungan yang baik antara parti dalam kerajaan dan luar kerajaan.
Ini bukan satu tugas mudah kerana kesannya kepada pihak luar Amanah sangat penting. Mereka pasti mengukur watak, perwatakan dan keupayaan calon yang dipilih.
MUHAIMIN SULAM ialah ahli jawatankuasa pimpinan Amanah di peringkat nasional dan naib pengerusi Amanah Perak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan