"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: PAS belum capai kata sepakat siapa calon MB

N Faizal Ghazali

PAS Kelantan setakat ini belum mencapai keputusan muktamad untuk mencadangkan tiga nama calon menteri besar yang akan diserahkan kepada presiden parti, Abdul Hadi Awang sebelum dipersembahkan kepada Tuanku Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Pesuruhjaya PAS Kelantan Ahmad Yakob berkata perbincangan berhubung perkara itu akan diteruskan malam ini dengan dihadiri pemimpin kanan parti termasuk Abdul Hadi.

Menurutnya, mesyuarat berkenaan akan memutuskan calon yang layak untuk menggantikan dirinya susulan kemenangan PAS pada pilihan raya negeri (PRN) semalam.

“Mesyuarat malam tadi dilanjutkan kepada malam ini dengan dihadiri pimpinan PAS Pusat dan menerusi menyuarat berkenaan akan diputuskan semua (calon menteri besar),” katanya ketika ditemui media di kediamannya di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu keputusan PRN semalam menyaksikan PAS berjaya mempertahankan kerajaan Kelantan yang ditadbir sejak 33 tahun lalu selepas menang 43 kerusi daripada keseluruhan 45 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Pembangkang pula hanya menang dua kerusi, masing-masing satu daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, Ahmad yang juga menteri besar sementara Kelantan memaklumkan terdapat pimpinan memujuknya supaya terus menerajui kerajaan Kelantan.

“Saya sudah uzur dan saya sendiri minta untuk tidak disambung.

“Walaupun ada pimpinan meminta dan memujuk saya untuk menyambung jawatan menteri besar, saya terpaksa menolak atas faktor usia dan kesihatan.

“Biarlah masa yang ada digunakan untuk berkhidmat kepada penduduk Kelantan sebagai wakil rakyat biasa, bukannya menteri besar,” jelasnya.

Tiada ulasan: